Tanding calon Bebas, keahlian PAS Najib Lep gugur secara automatik, kata Tuan Ibrahim

Tanding calon Bebas, keahlian PAS Najib Lep gugur secara automatik, kata Tuan Ibrahim

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata keputusan Najib itu bertentangan dengan arahan dan keputusan parti.

Najib Lep merupakan satu-satunya wakil PAS dalam DUN Johor, semalam, bertindak bertanding atas tiket Bebas, sekali gus menyaksikan pertembungan enam penjuru di kerusi DUN Bukit Pasir. (Gambar Facebook)
JOHOR BAHRU:
Keahlian PAS penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Pasir, Najib Lep yang bertanding sebagai calon Bebas di kerusi itu dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor gugur secara automatik.

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata keputusan Najib yang sekaligus menentang calon PAS Nur Iqbal Abd Razak mewakili Perikatan Nasional itu bertentangan dengan arahan dan keputusan parti.

“Saya tegas bahawa semua ahli parti mesti akur keputusan parti.

“Tindakan beliau (Najib Lep) secara automatik telah gugurkan diri sebagai ahli parti dan semua ahli, penyokong PAS diminta memberi undi kepada calon PAS mewakili PN dalam PRN Johor termasuk di DUN Bukit Pasir,” katanya kepada FMT.

Tuan Ibrahim berkata, peringkat awal parti telah mencalonkan beliau di DUN lain bagi menghadapi PRN Johor selepas membuat kajian kemampuannya memenangi kawasan yang dipindahkan, bagaimanapun ditolak.

“Parti telah mencalonkan beliau di DUN lain yang lebih (baik) baginya (untuk menang) dalam kajian yang dilakukan, namun beliau menolak dan ingin kekal di kawasan lama dan ini bercanggah dengan keputusan parti yang mengambil kira semua faktor.

“Sebagai bekas Naib Yang Dipertua kawasan, beliau harus mematuhi keputusan parti yang terbukti manfaat untuk beliau,” katanya.

Semalam Najib membuat kejutan dengan mencalonkan dirinya sebagai calon Bebas di kerusi DUN Bukit Pasir dan berdepan pertembungan enam penjuru termasuk melawan calon Perikatan Nasional (PN) yang juga daripada komponen PAS, selain bersaing dengan calon Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Pejuang) dan seorang lagi calon Bebas.

Najib adalah satu-satunya wakil PAS sebelum DUN Johor dibubarkan, pada 22 Januari lalu.

Semalam, katanya, beliau bersedia untuk menerima sebarang tindakan daripada pimpinan parti kerana melanggar arahan dan mengambil keputusan untuk bertanding sebagai Bebas di kerusi DUN berkenaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.