PRN Johor: Perluas VTL kepada kenderaan persendirian, kata calon pembangkang

PRN Johor: Perluas VTL kepada kenderaan persendirian, kata calon pembangkang

Mereka senada pembukaan semula sempadan akan membantu mempercepat lagi pemulihan semula ekonomi.

Calon pembangkang yang bertanding pada pilihan raya negeri (PRN) Johor berkata kerajaan boleh memperkenalkan pendekatan uji-dan-lepas tanpa kuarantin selepas sempadan negara dibuka semula. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Beberapa calon bertanding pilihan raya negeri (PRN) Johor meminta kerajaan persekutuan membuka sepenuhnya sempadan negara bagi pemulihan pantas ekonomi.

Setiausaha DAP negeri, Andrew Chen, yang juga calon di Dewan Undangan Negeri (DUN) Stulang, berkata sempadan antara Malaysia dan Singapura mesti dibuka sepenuhnya sebagai kaedah meningkatkan kembali pertumbuhan perniagaan tempatan, termasuk menyatukan semula keluarga.

“Kerajaan boleh melaksanakan pendekatan uji-dan-lepas tanpa kuarantin,” katanya pada sidang media, hari ini.

Beliau juga mencadangkan peluasan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) kepada kenderaan persendirian jika sempadan tidak dapat dibuka dalam tempoh terdekat.

“Jumlah jualan tiket penerbangan dan pengangkutan awam pasti akan meningkat juga.”

Bercakap dalam sidang media sama, calon Amanah, Dzulkefly Ahmad, yang bertanding di DUN Kota Iskandar, berkata pembukaan semula sempadan akan meningkatkan kadar pembelian hartanah di Johor.

“Pelabur dari Singapura adalah pembeli utama hartanah di Johor. Jika sempadan tidak dibuka semula, banyak hartanah boleh dijual dan akan mengurangkan isu (hartanah) tidak terjual.”

Dalam pada itu, Setiausaha Agung MUDA, Amira Aisyah Abd Aziz, berkata pembukaan semula sempadan menjadi aspek utama proses pemulihan semula kembali kepada negeri ini dan juga negara.

Amira yang bertanding di DUN Puteri Wangsa, berkata ramai peniaga tempatan, terutamanya yang terbabit dalam sektor pelancongan, teruk terjejas kesan daripada penutupan itu.

Katanya, keputusan berhubung pembukaan sempadan perlu diputuskan segera.

Ketua DAP Johor Liew Chin Tong, berkata kerajaan mesti mengkaji semua pendirian berhubung pembukaan kembali sempadan.

“Kami berharap pilihan raya ini akan mempromosikan dasar ekonomi lebih baik bagi negeri dan negara, dan bukan semata-mata persaingan antara personaliti.

“Kami mencadangkan dasar ini (pembukaan semula sempadan) kerana isu itu perkara besar di Johor.”

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, berkata ahli politik sepatutnya banyak mengetengahkan peningkatan kos sara hidup pada PRN Johor.

“Tiada siapa yang menyebut perkara itu kecuali timbalan menteri yang berkata, perang antara Rusia dan Ukraine tidak akan menjejaskan harga barang susulan Malaysia tidak mengimport barang dari sana.

“Ia langsung tidak masuk akal. Sekiranya, bekalan berkurang kesan sekatan ekonomi, harga barang akan naik.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.