Pembaharuan Parlimen terbantut akibat Langkah Sheraton, kata bekas speaker

Pembaharuan Parlimen terbantut akibat Langkah Sheraton, kata bekas speaker

Ariff Md Yusof berkata beliau mahi meminda perintah tetap Parlimen bagi menghentikan tindakan luar kawal Ahli Parlimen dari kedua-dua belah pihak.

Bekas Speaker Dewan Rakyat Ariff Md Yusof, berkata sebilangan Ahli Parlimen secara melulu menyalahgunakan imuniti Parlimen.
KUALA LUMPUR:
Mengekang wakil rakyat ‘luar kawalan’ dari kedua-dua belah pihak di Parlimen antara pembaharuan yang ingin dibawa bekas Speaker Dewan Rakyat Ariff Md Yusof, namun terencat akibat Langkah Sheraton.

Mengimbau semula pengalamannya sebagai speaker ketika Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan persekutuan, Ariff kesal dengan sikap luar kawalan Ahli Parlimen, di mana beliau mahu menghentikan sama sekali tindakan sedemikian demi memastikan perbahasan berlangsung secara beradab.

“Sebilangan Ahli Parlimen secara melulu menyalahgunakan imuniti Parlimen dan mereka tahu mempergunakan keistimewaan itu.

“Mereka akan menjerit benda mengarut, termasuk mengeluarkan kata-kata kotor dan memaki hamun. Apabila mereka ditegur speaker, mereka akan menarik semula kenyataan itu. Selepas itu, mereka kembali melakukan perkara sama berulang kali,” katanya dalam pelancaran bukunya, ‘Parliament Unexpected’, di Kuala Lumpur, hari ini.

Ariff berkata, beliau mahu mengemukakan tatakelakuan membabitkan Ahli Parlimen, menteri termasuk pegawai di pejabat speaker.

“Malangnya, Langkah Sheraton berlaku dan saya disingkirkan,” katanya.

Buku terbaharu tulisan Ariff Md Yusof.

Ariff berkata, penalti sedia ada RM1,000 bagi perbuatan luar kawalan mengikut arahan mengikut perintah tetap tidak mencukupi dan tidak cekap dalam mengawal Ahli Parlimen.

“Saya juga mahu meminda perintah tetap Parlimen meningkatkan penalti demi memastikan pencegahan lebih baik, tetapi saya tidak berkesempatan melakukannya.”

Ariff berkhidmat sebagai speaker bermula Julai 2018 hingga penyingkirannya pada Julai 2020, selepas kejatuhan PH dan Perikatan Nasional mengambil alih kerajaan.

Sepanjang tempoh perkhidmatannya, beliau memacu pembaharuan Parlimen dengan memperkenalkan sejumlah jawatankuasa pilihan khas Parlimen, bertujuan mewujudkan lebih banyak semak dan imbang terhadap kerajaan.

Pembabitan belia dalam politik Malaysia

Mengulas berhubung penyertaan MUDA dalam kancah politik negara, beliau berkata, tindakan itu tepat pada masanya.

“Ia masa terbaik bagi orang muda membentuk parti. Di seluruh dunia, pimpinan muda muncul dan menjadikan negara mereka lebih baik.

“Sekiranya, semua lima mereka (calon MUDA) dipilih di Johor, itu lebih baik (kepada negeri). Sekiranya 30 Ahli Parlimen muda dipilih pada pilihan raya umum ke-15, negara ini akan menjadi bertambah baik.

Katanya, lapisan Ahli Parlimen muda yang menjadi wakil rakyat bersikap profesional ketika berada di Parlimen. Mereka juga menunjukkan prestasi baik dalam jawatankuasa Parlimen membabitkan semua parti, sepanjang tempoh perkhidmatannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.