Jangan tengok dengan siapa saya berkhidmat, lihat pengalaman, kata calon PN di Larkin

Jangan tengok dengan siapa saya berkhidmat, lihat pengalaman, kata calon PN di Larkin

Zulkifli Bujang menegaskan pekerjaan beliau sebelum ini sebagai bekas Setiausaha Akhbar kepada Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin bukanlah satu isu.

Calon PN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin, Zulkifli Bujang (dua dari kanan) tiba di Pusat Penamaan Calon Dewan JKR Johor Bahru semalam.
JOHOR BAHRU:
Calon Perikatan Nasional (PN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin, Zulkifli Bujang menegaskan pekerjaan beliau sebelum ini sebagai bekas Setiausaha Akhbar kepada Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin bukanlah satu isu yang perlu diperbesarkan.

Bekas wartawan kanan itu juga berkata, pengundi perlu melihat dan menilai peranan serta pengalaman yang beliau ada terutama dalam sektor pentadbiran dan kerajaan.

“Jangan melihat (dengan) siapa saya berkhidmat tetapi lihat pada peranan dan pengalaman saya dalam urus tadbir, kalau kita sentiasa lihat dengan majikan siapa orang bekerja, kita tak boleh macam tu.

“Dahulu pun saya secara tak langsung pernah bekerja dengan bekas Menteri Besar Johor Mohamed Khaled Nordin sendiri, saya rasa benda itu bukan isu,” katanya ketika ditemui selepas proses penamaan calon semalam.

Dalam pada itu, Zulkifli menegaskan tidak timbul soal kepimpinan Bersatu di Johor Bahru yang tidak berpuas hati dengan pemilihannya sebagai calon.

“Cuma kita ada strategi tertentu yang kita lakukan bagi memastikan pilihan penduduk Larkin itu dilihat, jadi saya rasa semuanya tiada isu dan tak timbul soal tidak puas hati atau sebagainya,” jawabnya ringkas menafikan dakwaan wujud gerakan beberapa kumpulan yang tidak berpuas hati dengan pelantikannya sebagai calon PN di Larkin.

Dalam pada itu, calon Barisan Nasional (BN) bagi DUN Larkin Mohd Hairi Mad Shah berkata, beliau melihat persaingan enam penjuru di kerusi itu bukan sebagai satu kelebihan buat partinya.

“Pada saya semua parti mempunyai peluang dan boleh menang dalam pilihan raya negeri kali ini, ini sistem demokrasi dan siapa sahaja calon dikemukakan, kita mesti mengalu-alukan.

“Bagi BN, kami sedar dan istiqamah dalam apa sahaja penerimaan calon muka baharu dan sebagaimana sedia maklum semua keenam-enam calon bertanding ini adalah muka baharu,” tambah beliau.

Selain Zulkifli dan Hairi, empat lagi calon yang diisytiharkan bertanding di DUN Larkin ialah calon MUDA, Rasid Abu Bakar yang bertembung dengan rakannya daripada PKR Dr Zamil Najwah Arbain, Mohamad Riadz Mohamad Hashim (Pejuang) dan seorang calon Bebas Norramadan Buan.

Semalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilaporkan berkata seramai 239 calon bertanding bagi merebut 56 kerusi DUN pada PRN Johor selepas tempoh penamaan calon ditutup.

Pengerusinya, Abdul Ghani Salleh berkata, BN dan PN menjadi dua parti yang bertanding di semua 56 kerusi DUN.

Tempoh berkempen PRN Johor bermula selepas pengisytiharan pilihan raya dipertandingkan oleh pegawai pengurus sehingga 11.59 malam 11 Mac nanti.

Hari pengundian awal PRN Johor berlangsung pada 8 Mac, manakala hari pengundian akan diadakan pada 12 Mac.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.