BN letak calon baharu bukan sebab tawar ‘muka baharu’, tapi Umno rebut kuasa, kata penganalisis

BN letak calon baharu bukan sebab tawar ‘muka baharu’, tapi Umno rebut kuasa, kata penganalisis

Penganalisis berkata 'puak arus perdana' dalam Umno akan cuba memastikan semua calon itu adalah orang yang akan kekal setia kepada mereka.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Puad Zarkashi bertemu penyokongnya di Rengit minggu lalu. Beliau dinamakan sebagai calon Barisan Nasional (BN) di Rengit, Johor.
PETALING JAYA:
Keputusan Barisan Nasional (BN) untuk meletakkan 70% calon baharu pada pilihan raya negeri (PRN) Johor, lebih berkaitan dengan perebutan kuasa dalam Umno dan bukannya menawarkan “muka baharu” kepada pengundi, kata seorang penganalisis.

Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata beliau percaya langkah itu akan menyaksikan “puak arus perdana” dalam Umno, diketuai Presidennya, Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri Najib Razak, mengukuhkan kuasa mereka dalam parti.

“Saya fikir apa yang berlaku ialah perebutan kuasa dalaman secara beransur-ansur antara puak arus perdana dan mereka yang bersekutu dengan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob,” katanya kepada FMT.

“Puak arus perdana cuba untuk memastikan calon-calon ini adalah orang yang akan kekal setia kepada mereka.”

Beliau berkata, taktik BN tidak penting dari segi keputusan pilihan raya kerana kebanyakan calon Umno mempunyai peluang tinggi untuk menang memandangkan Johor adalah kubu tradisi Umno.

Oh merasakan bahawa BN berkemungkinan akan memenangi kerusi terbanyak kerana pembangkang berpecah dan akan melemahkan undi untuk mereka.

Katanya, MCA dan MIC diberikan lebih banyak kerusi untuk ditandingi bagi memenangi kerusi di kawasan bercampur terutama di bahagian utara, tengah dan selatan Johor namun ia mempunyai sedikit kepentingan kerana kedua-dua parti itu dilihat patuh kepada Umno.

Manakala seorang lagi penganalisis, Azmi Hassan dari Akademi Nusantara, berkata pengenalan muka baharu itu bukan hanya menunjukkan BN sanggup berubah dan akur dengan permintaan pengundi tetapi juga berfungsi sebagai strategi yang baik.

“Mereka tidak cuba bermain dengan selamat, tetapi cuba melakukan apa yang efektif. PRN Melaka dan Sarawak telah menunjukkan bahawa kerjasama antara muka baharu dan lama adalah kombinasi yang baik.

Katanya, prestasi buruk BN pada pilihan raya umum (PRU) 2018 adalah kerana muka lama yang sama bertanding.

“Saya rasa mereka sedar bahawa mereka perlu mengubah perkara ini. Saya rasa Umno dan BN hanya cuba menjadi relevan kepada generasi baharu pengundi,” katanya.

Bagaimanapun katanya, BN cukup bijak dengan membenarkan beberapa nama yang tidak asing, terutamanya Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno Puad Zarkashi, bertanding bagi menarik pengundi veteran.

Azmi juga merasakan bahawa Umno yakin dengan kerusi yang ditandinginya, dan itu adalah sebab mengapa mereka sanggup menyerahkan kerusi sebanyak itu MCA dan MIC sebagai isyarat baik kepada mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.