Pejuang sedia bekerjasama dengan parti lain selepas PRN Johor, kata Mukhriz

Pejuang sedia bekerjasama dengan parti lain selepas PRN Johor, kata Mukhriz

Langkah itu perlu demi perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum, agama serta budaya dan parti itu hanya mempunyai satu bangsa iaitu Melayu.

Mukhriz Mahathir berkata, Pejuang belum menetapkan parti yang bakal dipilih untuk bekerjasama. (Gambar Bernama)
BATU PAHAT:
Pejuang sedia bekerjasama dengan parti lain selepas pilihan raya negeri (PRN) Johor.

Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir, berkata dalam membentuk kerajaan di Malaysia, langkah itu perlu demi perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum, agama serta budaya dan parti tersebut ‘hanya mempunyai satu bangsa iaitu Melayu.’

“Pejuang bertanding di 42 kerusi, mahu tak mahu sesebuah kerajaan yang ditubuh mestilah ada campuran wakil semua kaum dan itu tak datang daripada kami, jadi kita kena cari satu kesepakatan dengan pihak lain,” katanya kepada pemberita selepas Program Presiden Pejuang bersama calon di Rengit, hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata Pejuang belum menetapkan parti yang bakal dipilih untuk bekerjasama.

Ditanya mengenai keyakinan Pejuang yang pertama kali bertanding dan menampilkan calon muka baharu, Mukhriz berkata, PRN Johor merupakan platform untuk memperkenal parti itu kepada pengundi.

“Apa yang penting, kita nak kenalkan parti dan calon kepada pengundi. Pengundi muda perlu didedahkan kepada proses kematangan dalam politik, kalau tak dedahkan, sampai bila mereka nak berpengalaman,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.