Diplomat Malaysia selamatkan diri dari Kyiv guna kereta akibat ‘kecuaian’, kata laporan SCMP

Diplomat Malaysia selamatkan diri dari Kyiv guna kereta akibat ‘kecuaian’, kata laporan SCMP

Beberapa sumber meletakkan kesalahan terhadap pegawai kanan kerana menolak maklumat perisikan Barat sebelum ini yang dikatakan sebahagian daripada naratif Barat.

Orang awam Ukraine bergegas memasuki kereta api dan kereta untuk meninggalkan negara mereka pada Khamis, apabila kereta kebal dan tentera Rusia bergerak melintasi sempadan dalam serangan besar-besaran. (Gambar AP)
PETALING JAYA:
Diplomat Malaysia di Ukraine terpaksa bergegas meninggalkan Kyiv melalui laluan darat selepas Kementerian Luar dilaporkan cuai membawa mereka keluar, menurut laporan South China Morning Post (SCMP).

SCMP berkata, kumpulan itu terdiri daripada lapan rakyat Malaysia dan dua tanggungan warga asing, menempuh perjalanan sejauh 782 km menuju ke Poland membabitkan empat kereta, susulan bas yang disewa gagal sampai untuk membawa mereka keluar.

Sumber kerajaan mengesahkan perkara itu kepada FMT, berkata proses membawa keluar mereka yang terbabit sedang berjalan. Jurucakap Wisma Putra (Kementerian Luar) enggan mengulas lanjut berhubung laporan SCMP.

Hari ini, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, berkata Kedutaan Malaysia di Kyiv dalam proses mengeluarkan lapan rakyat negara ini dan dua tanggungan warga asing dari Kyiv, selepas 13 rakyat Malaysia sudah meninggalkan Ukraine, beberapa minggu lalu.

SCMP berkata, beberapa sumber sahih bebas memberitahu akhbar berkenaan, Wisma Putra melengahkan proses membawa keluar staf kedutaan.

Kata akhbar itu, sumber itu turut menyalahkan kerajaan pimpinan Ismail dan Menteri Luar Saifuddin Abdullah, selepas mengambil pendirian menolak maklumat perisikan Barat yang diterima bulan lalu, berhubung pencerobohan Rusia yang bakal berlaku.

Satu sumber mendakwa, pegawai rasmi Malaysia melabelkan maklumat perisikan itu sebagai “naratif Barat”, sehingga mengakibatkan misi membawa keluar menjadi “cluster f**k”.

“Situasi ini sebahagian daripada kesan mempunyai menteri yang dilihat terdesak untuk tidak terjerumus dalam naratif Barat, beliau percaya kepada cerita karut pihak di sebelah sana,” kata sumber berkenaan.

SCMP berkata, Amerika Syarikat mengeluarkan kebanyakan kakitangan kedutaan dari Kyiv, pada 12 Feb, dengan Britain menyatakan memindahkan misi diplomatnya keluar dari Kyiv, pada 18 Feb.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.