Bot dipukul ribut, 14 pemancing, 4 kru bot dipercayai lemas di perairan Langkawi

Bot dipukul ribut, 14 pemancing, 4 kru bot dipercayai lemas di perairan Langkawi

Sektor operasi diperluaskan hingga 10 batu nautika berikutan penemuan beberapa objek terapung, termasuk tong ikan, tin biskut dan gabus dipercayai milik bot itu.

Dalam kejadian pada 2 petang itu, bot dilaporkan membawa kumpulan pemancing yang dikatakan berasal dari Banting, Selangor dan Kuala Lumpur, kata Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kedah dan Perlis Zawawi Abdullah. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seramai 14 pemancing dan empat kru dilaporkan hilang selepas bot dinaiki mereka dipercayai karam dipukul ribut, pada kedudukan 9.4 batu nautika, barat Pulau Beras Basah, di Langkawi, hari ini.

Dalam kejadian pada 2 petang itu, bot terbabit dilaporkan membawa kumpulan pemancing yang dikatakan berasal dari Banting, Selangor dan Kuala Lumpur.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kedah dan Perlis Zawawi Abdullah, berkata pihaknya sudah menghantar tiga aset ke lokasi untuk operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Aset Maritim Malaysia KM Tenggol, Bot Perkasa 1225 dan Bot Penyelamat 5 diatur gerak bagi operasi SAR sebaik menerima laporan kecemasan daripada Sub-Pusat Menyelamat Maritim (MRSC) Langkawi.

“Maklumat kejadian turut disalurkan kepada agensi penyelamat lain termasuk tentera Laut, polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta komuniti nelayan setempat,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Zawawi berkata, sektor operasi diperluaskan dari lima hingga 10 batu nautika berikutan penemuan beberapa objek terapung, termasuk tong ikan, tin biskut dan gabus dipercayai milik bot berkenaan.

“Penemuan barangan itu adalah pada jarak 4.8 batu nautika, di Barat Daya dari posisi akhir bot terbabit dilaporkan hilang.

“Sehingga kini operasi SAR dibantu pelbagai agensi penyelamat masih diteruskan dijangka sehingga pagi esok bagi mengesan bot terbabit,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.