Bahasa Melayu diguna untuk urusan rasmi kerajaan di luar negara, kata PM

Bahasa Melayu diguna untuk urusan rasmi kerajaan di luar negara, kata PM

Bagaimanapun, Ismail Sabri Yaakob berkata jika negara tuan rumah menggunakan bahasa Inggeris, maka Malaysia mempunyai pilihan untuk menggunakan bahasa Inggeris atau bahasa Melayu.

Dalam lawatan kerja ke Thailand, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata beliau menggunakan bahasa Melayu sebagai medium penyampaian rasmi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob berkata bahasa Melayu akan digunakan bagi setiap urusan rasmi kerajaan termasuk lawatan kerja di luar negara bagi memperkasa bahasa kebangsaan.

Bagaimanapun, Ismail Sabri Yaakob berkata jika negara tuan rumah menggunakan bahasa Inggeris, maka Malaysia mempunyai pilihan untuk menggunakan bahasa Inggeris atau bahasa Melayu.

“Kita (sudah) bincang dalam kabinet, option (pilihan) pertama… jika negara tersebut guna bahasa mereka, kita guna bahasa Melayu dan option (pilihan) kedua kalau negara tersebut guna bahasa Inggeris, kita gunakan bahasa Inggeris atau boleh guna bahasa Melayu..

“Untuk persidangan antarabangsa pun mulai sekarang kita akan gunakan bahasa Melayu,” katanya pada sidang media sempena lawatan kerja tiga hari ke Thailand.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, dengan peralatan canggih dan moden ketika ini, tidak timbul isu lewat pengalihan bahasa dalam penyampaian bagi urusan rasmi.

“Sudah tiba masanya kita perkasakan bahasa kita sendiri. Tidak ada sebab kenapa kita rasa janggal berbahasa Melayu di luar negara.

“Orang lain boleh berbangga dengan bahasa masing-masing, terutama negara Asean ini ramai penduduk boleh berbahasa Melayu jadi tidak ada sebab mengapa kita tidak boleh dan malu guna bahasa kita,” katanya

Dalam lawatan kerja ke negara Gajah Putih itu, Ismail berkata beliau menggunakan bahasa Melayu sebagai medium penyampaian rasmi.

“Sebagai contoh di Thailand, mereka bercakap bahasa Thailand dan ia diterjemahkan kepada bahasa Melayu. Jika kita cakap bahasa Inggeris, ia perlu diterjemahkan ke dalam bahasa mereka. Jadi bagi saya lebih elok kita guna bahasa Melayu.

“Tidak ada isu lewat untuk mengalih bahasa tersebut. Dengan peralatan moden sekarang ni apa kita cakap dia akan alih suara serta-merta. Jadi tidak timbul gangguan lewat atau sebagainya,” katanya.

Lawatan tiga hari itu, adalah yang pertama sejak beliau dilantik sebagai Perdana Menteri Ogos lalu.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, bahasa Melayu mampu menjadi bahasa Asean memadangkan majoriti negara Asean boleh berbahasa Melayu.

“Mungkin satu hari nanti, kita boleh lihat bahasa Melayu sebagai bahasa Asean kerana Indonesia, Brunei, selatan Thailand, selatan Filipina, melayu Kemboja semua boleh berbahasa Melayu,” katanya.

Dalam perkara berasingan, Ismail berkata seramai 13 rakyat Malaysia termasuk kakitangan diplomat dan pelajar, telah meninggalkan Ukraine minggu lalu susulan perang tercetus antara negara itu dan Rusia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.