Sistem cuaca tekanan rendah dijangka landa Pantai Timur Semenanjung

Sistem cuaca tekanan rendah dijangka landa Pantai Timur Semenanjung

Hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku di kebanyakan kawasan di Semenanjung sehingga 26 Feb, menurut MetMalaysia.

Orang awam di kawasan terlibat dinasihatkan supaya lebih peka dan bersiap siaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
KUALA LUMPUR:
Sistem cuaca tekanan rendah dijangka melanda sempadan negeri Pahang dan Terengganu petang Jumaat dan seterusnya bergerak ke barat laut merentasi Semenanjung yang boleh menyebabkan hujan lebat berterusan dan angin kencang.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Muhammad Helmi Abdullah berkata, hujan lebat dan angin kencang berkenaan dijangka berlaku di kebanyakan kawasan di Semenanjung sehingga 26 Feb, namun ramalan terkini menunjukkan kemungkinan sistem itu meningkat ke tahap Lekukan Tropika adalah rendah.

“Sehubungan itu MetMalaysia mengeluarkan amaran hujan berterusan (Buruk dan Waspada) untuk Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan dan Melaka sehingga 26 Feb ini,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan malam tadi.

Sehubungan itu beliau menasihatkan orang awam di kawasan terlibat supaya lebih peka dan bersiap siaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Maklumat cuaca terkini boleh diperolehi melalui laman web, aplikasi mobile myCuaca atau talian hotline MetMalaysia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.