Guan Eng gesa siasat Zeti, individu lain berkait pendedahan terbaru 1MDB

Guan Eng gesa siasat Zeti, individu lain berkait pendedahan terbaru 1MDB

Setiausaha Agung DAP itu berkata pihak berkuasa perlu menyiasat pembelian rumah USD$10 juta di London oleh Tim Leissner untuk seorang bekas CEO media tempatan.

Bekas pegawai bank Tim Leissner memberitahu mahkamah di AS bahawa BNM meluluskan pindahan tukaran mata wang asing sebanyak USD$1 bilion ‘dalam tempoh semalaman’ daripada 1MDB kepada PetroSaudi International selepas suami Zeti Akhtar Aziz didakwa menerima rasuah untuk ‘melaksanakannya’.
SKUDAI:
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menggesa “siasatan penuh” dibuat terhadap bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Zeti Akhtar Aziz dan individu lain yang terbabit dalam pendedahan terbaru berkaitan skandal 1MDB.

Ini susulan dakwaan bekas pegawai bank Tim Leissner di mahkamah di Amerika Syarikat bahawa BNM meluluskan pindahan tukaran mata wang asing sebanyak USD$1 bilion “dalam tempoh semalaman” daripada 1MDB kepada PetroSaudi International selepas suami Zeti didakwa menerima rasuah untuk “melaksanakannya”.

“Saya fikir kita harus membiarkan siasatan penuh dijalankan, bukan sahaja ke atas Zeti tetapi juga pendedahan yang lain, termasuk penggunaan wang 1MDB untuk pembelian rumah agam USD$10 juta di London bagi menyelesaikan hubungan peribadi yang jelas dengan seorang wanita Malaysia.

“Itu harus disiasat bersama-sama dengan dakwaan lain.

“Ia memalukan bila seorang warga asing menggunakan wang kita untuk menyelesaikan masalah peribadinya dengan seorang wanita,” katanya pada sidang media hari ini.

Terdahulu, suami Zeti, Tawfiq Ayman, menafikan dakwaan Leissner, iaitu bekas pegawai eksekutif Goldman Sachs yang memberi keterangan dalam perbicaraan rasuah di AS membabitkan Roger Ng, yang merupakan bekas ketua perbankan pelaburan Goldman di Malaysia.

Semalam, dalam respons kepada keterangan Leissner, BNM menjelaskan bahawa semua permohonan pelaburan asing yang dibuat oleh 1Malaysia Development Bhd (1MDB) adalah tertakluk pada syarat di bawah Akta Kawalan Pertukaran Wang (AKPW) 1953.

“Semua permohonan yang dihantar oleh 1MDB, termasuk permohonan yang dinyatakan di atas, adalah tertakluk pada kriteria kelulusan dan proses tadbir urus dalaman yang digunakan dalam mana-mana permohonan yang dihantar oleh entiti-entiti lain kepada BNM,” menurutnya dalam kenyataan.

Terdapat gesaan daripada kedua-dua belah jurang politik supaya Zeti disiasat, terutamanya selepas disahkan bahawa RM65 juta dana berkaitan 1MDB dipegang oleh sebuah syarikat milik suaminya, Tawfiq.

Sementara itu, Leissner memberitahu mahkamah persekutuan di Brooklyn, New York bahawa dia membeli sebuah rumah untuk bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah media tempatan kerana dia telah mengancam untuk mendedahkan penglibatannya dalam skandal 1MDB.

Dia mendakwa wanita itu sangat kecewa kerana dia memutuskan hubungan mereka untuk bersama bakal isterinya Kimora Lee Simmons, yang merupakan seorang bekas model.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.