PRN Johor: Ng Yew Aik calon MCA di DUN Puteri Wangsa

PRN Johor: Ng Yew Aik calon MCA di DUN Puteri Wangsa

MCA mendapat kerusi DUN Puteri Wangsa buat kali pertama dan berjanji akan bekerja kuat bagi memastikan kemenangan BN.

Kemenangan MCA pada PRN Johor sangat penting memandangkan parti kaum Cina tidak memiliki sebarang kerusi DUN selepas PRU14, kata Presiden Wee Ka Siong.
YONG PENG:
Presiden MCA Wee Ka Siong, hari ini, mengumumkan calon terakhir parti itu yang bakal bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, pada pilihan raya negeri (PRN) Johor.

Wee berkata, Ketua MCA Bahagian Tebrau Ng Yew Aik akan mewakili Barisan Nasional (BN) bagi kerusi berkenaan.

Beliau membuat pengumuman itu pada Sambutan Ulang Tahun MCA ke-73 yang diadakan di Dewan Persatuan Akhlak Che Ann Khor Yong Peng, di sini.

Bercakap kepada pemberita, Wee berkata, MCA mendapat kerusi DUN Puteri Wangsa buat kali pertama dan berjanji akan bekerja kuat bagi memastikan kemenangan BN dalam PRN Johor ini.

Katanya, jentera PRN MCA telah bersiap sedia untuk membantu semua calon BN tanpa mengira parti komponen sama ada UMNO atau MIC agar BN mendapat mandat untuk memimpin negeri Johor.

Wee Ka Siong.

Beliau menyifatkan kemenangan MCA pada PRN Johor sangat penting memandangkan parti kaum Cina tidak memiliki sebarang kerusi DUN selepas pilihan raya umum ke-14.

“Ini sangat penting kerana dalam komposisi kerajaan Johor yang dipilih pada 2018, MCA ketinggalan, kita tidak ada wakil MCA.

“Jadi kita harus menebus kekalahan dan mencerminkan masyarakat majmuk Johor agar tiada kaum yang tertinggal dalam arus pembangunan negara,” katanya.

Beliau juga memaklumkan daripada 15 calon MCA diketengahkan dalam PRN Johor, 10 calon adalah muka baharu yang dilihat dapat meraih keyakinan pengundi muda.

Semalam, Wee mengumumkan 14 daripada 15 calon parti itu yang akan bertanding dalam PRN Johor pada 12 Mac.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.