
Timbalan Menteri Kesihatan Dr Noor Azmi Ghazali berkata, antara sebab jumlah pendaftaran bagi program itu masih rendah adalah kerana ibu bapa mengambil sikap tunggu dan lihat, selain bimbang dengan kesan sampingan vaksin berkenaan terhadap anak mereka.
“Kita harap ibu bapa segera beri kebenaran untuk anak mereka dapatkan vaksin dan usaha meningkatkan bilangan kanak-kanak menerima vaksin sedang giat dijalankan,” katanya pada sidang media selepas meninjau PICKids di Sekolah Kebangsaan Wira, di sini.
Hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang Norolazali Sulaiman dan Pengarah Jabatan Kesihatan Pahang Dr Nor Azimi Yunus.
Azmi berkata, hanya 58 kanak-kanak dilaporkan mengalami kesan sampingan selepas mendapat suntikan vaksin Covid-19 menerusi PICKids setakat Rabu lalu.
PICKids menyasarkan 3.6 juta kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun menerima vaksin Covid-19 dan sebanyak 708,187 individu atau 19.9% populasi itu telah menerima dos pertama vaksin mereka setakat semalam.
Selain itu, beliau memaklumkan bagi kanak-kanak Orang Asli di Pahang, program ‘outreach’ telah dilaksanakan sebagai langkah membantu mereka mendapatkan vaksin Covid-19.
“Anak Orang Asli tidak terpinggir daripada menerima suntikan. Saya dimaklumkan lebih 700 kanak-kanak Orang Asli di Pos Lenjang, Lipis telah menerima suntikan vaksin pada minggu lepas dan Pahang mempunyai 18 pasukan’outreach’ untuk digerakkan ke lokasi-lokasi di pedalaman,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Azmi berkata, siasatan masih dijalankan susulan dakwaan berlaku kecuaian di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kelantan ketika Hilman Firdaus, bayi lelaki berusia dua bulan mendapatkan rawatan sehingga menyebabkan kematian.
Semalam, media melaporkan keluarga bayi itu akan mengambil tindakan undang-undang terhadap hospital berkenaan.