
Beliau berkata, tarikh perjanjian itu dimeterai akan ditentukan oleh kerajaan Indonesia dalam waktu terdekat.
“Sebenarnya, kita jangka MoU itu ditandatangani pada awal Februari, tetapi terpaksa tangguh kerana keadaan yang tidak sesuai. Jadi, kita harap dalam Mac ini, memandangkan MoU ini akan ditandatangani di Indonesia, jadi saya minta mereka (kerajaan Indonesia) tetapkan tarikh,” katanya selepas menyertai operasi penguatkuasaan khas bersepadu di bawah undang-undang perburuhan dan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) di sini, hari ini.
Dua hari lepas, Saravanan dilaporkan berkata, pemeteraian MoU PDI itu akan memanfaatkan kedua-dua negara, khususnya PDI yang memerlukan pekerjaan dalam situasi ekonomi global masih berdepan krisis Covid-19 serta majikan tempatan yang memerlukan khidmat pembantu rumah.
Dalam pada itu beliau berkata, pihaknya juga akan ke Kemboja tidak lama lagi bagi membincangkan reaksi dan perkara berkaitan pengambilan tenaga buruh, termasuk pembantu rumah memandangkan negara tidak boleh bergantung kepada satu negara sumber sahaja.
“Belum tahu lagi (jumlah tenaga buruh akan diambil), baru terima arahan Perdana Menteri, beliau minta saya berbincang dengan Kemboja,” katanya sambil menambah 1,054 pekerja Kemboja kini berada di negara ini dengan 1,003 orang adalah pembantu domestik.
Beliau turut menegaskan bahawa tiada diskriminasi terhadap buruh asing kerana mereka turut mendapat kemudahan sama seperti pekerja tempatan.
Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan Kedutaan Amerika Syarikat telah menyalurkan RM5 juta kepada badan bukan kerajaan Malaysia bagi membantu mengambil tindakan terhadap kes membabitkan buruh paksa.
Mengenai operasi penguatkuasaan hari ini, Saravanan berkata, seorang pekerja restoran warga India diselamatkan kerana disyaki menjadi mangsa pemerdagangan manusia.
Selain itu, dia didapati tidak mempunyai permit sah dan lelaki itu akan dihantar ke rumah perlindungan di Melaka selepas mendapat perintah perlindungan sementara daripada mahkamah.
Sejak 1 hingga 23 Feb lepas katanya, sebanyak 40,922 majikan melibatkan lebih 4 juta pekerja tempatan dan asing di seluruh negara diperiksa bagi memastikan mereka mematuhi Akta 446.