
Ketua MCA Bahagian Pontian, Tee Siew Kiong, yang juga bekas penasihat Menteri Besar Johor mendakwa “pemimpin MCA Pusat hanya mahu mengukuhkan kedudukan dalam parti dengan mencalonkan individu yang merupakan penyokong mereka”.
“Pendek kata, pemimpin MCA lebih mementingkan pilihan parti berbanding kepentingan masyarakat dalam PRN Johor ini,” katanya menurut laporan Sinar Harian.
Bagi membuktikan dakwaannya, Tee berkata, kepimpinan MCA Pusat membariskan calon yang tidak mempunyai jawatan di peringkat bahagian dan tidak dikenali masyarakat setempat.
MCA mengumumkan 14 calonnya yang akan bertanding dalam PRN Johor semalam dan baki seorang lagi calon pada hari ini.
Antara 15 calon itu, Tee berkata, ada di antaranya merupakan pegawai kepada menteri dan timbalan menteri.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulai Sebatang itu turut mendakwa pemilihan calon dipengaruhi amalan berpuak-puak dalam MCA dan beliau tidak menolak kemungkinan amalan itu menyebabkan dirinya tidak dicalonkan untuk PRN Johor.
Bekas Exco Johor itu meminta maaf kepada masyarakat, khususnya penyokongnya kerana tidak dapat mewakili mereka dalam PRN Johor, termasuk mana-mana pimpinan bahagian MCA berkelayakan, tetapi tidak dicalonkan kerana menyokongnya.
“Saya turut kesal kerana pemimpin parti tidak mempertahankan kerusi tradisi MCA, iaitu Pulai Sebatang hanya kerana kepentingan politik dan agenda peribadi.
“Saya tetap berterima kasih kepada sokongan diberikan kepimpinan BN negeri dan pusat terhadap saya, walaupun pada akhirnya parti saya sendiri tidak bertolak ansur,” katanya sambil menambah beliau percaya jika satu pintu ditutup, akan ada pintu lain yang dibuka kepadanya.