
Tan Hong Pin, yang merupakan penyandang DUN Skudai, memberitahu FMT beliau akan ke pusat penamaan calon Skudai pagi esok, tetapi tidak mengesahkan sama ada beliau ke sana untuk menyerahkan borang pencalonannya.
Semalam, DAP mengumumkan Marina Ibrahim sebagai calonnya di Skudai, yang dikuasai parti itu sejak 2008. Sebelum itu, ia adalah kubu kuat Gerakan, ketika parti itu masih bersama Barisan Nasional (BN).
“Saya akan ke pusat penamaan calon. Apa yang akan berlaku di pusat itu, saya tidak tahu lagi.
“Tiada siapa tahu apa akan berlaku esok. Saya hanya boleh beritahu anda rancangan saya, iaitu ke pusat penamaan calon,” katanya sambil menambah beliau akan ke sana bersama penyokongnya.
Ditanya sama ada beliau ke sana untuk menyokong Marina, Tan hanya berkata: “Mungkin.”
Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan timbul pertikaian antara Tan, yang memenangi kerusi Mengkibol pada 2013, dengan Ketua DAP Johor, Liew Chin Tong.
Tetapi, turut dilaporkan perkara itu sudah selesai, dengan kedua-dua pihak mencapai persetujuan bahawa bekas ADUN Skudai itu akan diletakkan sebagai calon untuk kerusi Parlimen Labis pada pilihan raya umum ke-15 sebagai pertukaran beliau digugurkan daripada PRN Johor.
Tetapi, timbul spekulasi bekas Setiausaha DAP Johor itu akan bertanding di DUN Skudai sebagai calon bebas.
Jika khabar angin itu terbukti betul, ia bukan kali pertama ahli DAP bertanding sebagai calon bebas di kerusi lama mereka.
Pada PRN Melaka November lalu, bekas ADUN Bemban, Ng Choon Koon bertanding sebagai calon bebas dalam saingan lima penjuru di kerusi sama.
Susulan langkah itu, Setiausaha Organisasi DAP, Loke Siew Fook berkata, keahlian Ng dibatalkan secara automatik.