Najib akan saman Shamsul Iskandar kerana fitnah

Najib akan saman Shamsul Iskandar kerana fitnah

Ia susulan dakwaan Ketua Penerangan PKR itu bahawa Najib Razak mencuri RM2.6 bilion dana 1MDB untuk menampung gaya hidupnya.

Najib Razak menafikan dakwaan Shamsul Iskandar Mohd Akin dengan berkata, beliau tidak didakwa menyeleweng dana, sebaliknya dituduh atas pengubahan wang.
PETALING JAYA:
Najib Razak mengarahkan peguamnya memulakan saman fitnah terhadap Ketua Penerangan PKR, Shamsul Iskandar Mohd Akin kerana mendakwa beliau mencuri RM2.6 bilion dana 1MDB untuk menampung gaya hidupnya.

Ketika menafikan dakwaan itu, bekas Perdana Menteri itu dalam catatan Facebooknya berkata, beliau tidak didakwa menyeleweng dana, sebaliknya dituduh atas pengubahan wang.

“Mereka tidak akan mengaku saya telah dakwa bawah AMLA dan bukan mencuri mahupun merompak (sebagaimana pemimpin mereka dalam kes terowong) dan dana tersebut telah dipulangkan kepada penghantar,” katanya merujuk AMLA sebagai Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.

Najib berkata, beliau didakwa dengan tujuh pertuduhan pengubahan wang kerana memulangkan dana itu kepada penghantarnya empat bulan selepas dimasukkan ke akaunnya.

“Jadi, bagaimana pula saya simpan RM2.6 bilion untuk ‘tampung gaya hidup’ saya?” soalnya memandangkan beliau sudah memulangkan wang itu.

“Ini yang tidak akan diakui oleh mana-mana pemimpin dari geng sebelah sana, walaupun ianya merupakan bukti mahkamah sebab mereka mahu teruskan propaganda menipu bahawa Najib kononnya curi RM2.6 bilion untuk beli cincin dan beg tangan.”

Selain Najib, Shamsul yang juga bekas Timbalan Menteri Industri Utama, dalam hantaran di Facebooknya turut mendakwa bekas eksekutif Goldman Sachs, Tim Leissner dan ahli perniagaan diburu pihak berkuasa, Low Taek Jho menggunakan dana awam itu.

Najib berdepan 25 tuduhan penyalahgunaan kuasa dan pengubahan wang haram berhubung dakwaan dana 1MDB lebih RM2 bilion yang dimasukkan ke akaun banknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.