Polis kenal pasti 17 lokasi panas PRN Johor

Polis kenal pasti 17 lokasi panas PRN Johor

Ia mengambil kira sentimen persaingan politik, isu perkauman, jenayah kongsi gelap serta pelbagai aktiviti jenayah termasuk mereka yang mempunyai rekod lampau.

Polis memberi amaran kepada penyokong parti politik supaya tidak menggugat ketenteraman awam sepanjang tempoh PRN Johor bermula Sabtu ini.
PETALING JAYA:
Polis mengenal pasti beberapa lokaliti panas yang mungkin boleh mengakibatkan kekecohan bagi tempoh menjelang pilihan raya negeri (PRN) Johor bulan depan.

Ketua Polis Johor, Kamarul Zaman Mamat berkata, 17 lokasi panas membabitkan 17 Dewan Undangan Negeri (DUN) itu dikesan selepas mengambil kira sentimen persaingan politik, isu perkauman, jenayah kongsi gelap serta pelbagai aktiviti jenayah termasuk individu yang mempunyai rekod lampau.

Beliau berkata, amaran telah dikeluarkan kepada penyokong parti politik supaya tidak menggugat ketenteraman awam sepanjang tempoh PRN Johor yang akan bermula Sabtu ini.

“Selain mengerahkan pemantauan yang lebih rapi di lokasi berisiko, kami juga akan melaksanakan pemantauan menggunakan Unit Dron. Di 56 DUN di seluruh Johor ini, kita dapati mungkin 17 DUN yang dianggap panas, bukan sahaja politik, tetapi panas juga dari segi kegiatan gengsterisme dan aktiviti perjudian dalam pilihan raya.

“Kawasan terlibat mengikut kaum, persaingan politik, kongsi gelap dan juga aktiviti yang dijalankan mereka yang mempunyai rekod lampau.

“Bagaimanapun polis Johor khasnya telah mengadakan maklumat risikan dan sebagainya termasuk bertemu ketua kampung supaya menasihati kumpulan ini lebih awal agar tidak melakukan perkara tidak diingini sepanjang tempoh PRN Johor,” katanya menurut laporan Kosmo.

Mengulas lanjut katanya, kontinjen Johor juga telah menubuhkan beberapa pasukan pemantau bagi memastikan kelancaran proses PRN dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.