
Trend itu dikenal pasti menerusi kaji selidik yang dilakukan dalam kalangan ahli persatuan itu.
“Kaji selidik dalam kalangan ahli mendapati terdapat trend peningkatan pesakit di wad pediatrik akibat Covid-19 sejak satu hingga dua minggu lalu,” kata Presidennya, Dr Kuljit Singh dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun katanya, terdapat beberapa hospital swasta yang melaporkan tiada kemasukan Covid-19 ke unit itu tetapi bilangan kes positif adalah tinggi dengan gejala ringan.
Kuljit berkata, pakar pediatrik di hospital swasta telah dimaklumkan mengenai perkembangan terbaharu pengurusan komplikasi berkaitan pesakit Covid-19 kanak-kanak sekiranya terdapat peningkatan kemasukan lagi.
Katanya, program vaksinasi bagi kanak-kanak berusia antara lima dan 11 tahun telah bermula di sesetengah hospital dan ibu bapa digesa mendapatkan suntikan untuk anak mereka.
“Adalah penting untuk melindungi kanak-kanak daripada dijangkiti Covid-19 kerana komplikasinya agak mencabar untuk diuruskan dan dirawat,” katanya.
Setakat 20 Feb, 454,194 orang kanak-kanak atau 12.8% yang berusia lima hingga 11 tahun telah menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19 di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak.
Program itu bermula 3 Feb di Lembah Klang.