
Menteri Sumber Manusia, M Saravanan, yang mendedahkan perkara itu hari ini berkata, layanan buruk terhadap pembantu rumah ialah punca utama MoU dengan Indonesia tidak diperbaharui sejak 2016 dan penangguhan dalam memuktamadkan MoU terbaharu yang akan dimeterai bulan ini.
“Walaupun kes ini adalah insiden terpencil, ia mencemarkan imej dan reputasi negara serta menjejaskan usaha memuktamadkan MoU dengan dua negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Oleh itu, beliau memberi amaran bahawa majikan yang ingkar akan disenaraihitamkan dan tidak dibenarkan mengambil pembantu rumah asing lagi pada masa depan, selain kerajaan tidak akan berkompromi dalam isu ini.
“Majikan yang dikenal pasti terlibat dalam menidakkan hak-hak pembantu rumah asing seperti tidak membayar gaji dan mengambil kesempatan ke atas mereka akan disenarai hitam dan tidak dapat menggaji pembantu rumah lagi pada masa akan datang.”
Saravanan berkata, terdapat 86,084 pembantu rumah asing di Malaysia ketika ini dengan kebanyakan mereka dari Indonesia (59,605), disusuli Filipina (22,803), Vietnam (1,031) dan Kemboja (976).
Dalam pada itu katanya, terdapat juga 1,157,481 pekerja asing di negara ini.
Sabtu lalu, FMT melaporkan Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Hermono mengeluh kerana terdapat banyak kes penderaan pembantu rumah di Malaysia berbanding sedikit atau langsung tiada di Singapura serta Hong Kong.
Katanya, terdapat banyak kes pembantu rumah dipaksa bekerja untuk majikan tanpa gaji selama bertahun-tahun, malah ada yang bekerja lebih sedekad dalam keadaan sedemikian.
Oleh itu, beliau berharap MoU antara Jakarta dan Putrajaya mengenai pembantu rumah Indonesia akan dimuktamadkan dalam tiga lagi pusingan rundingan antara kedua-dua kerajaan.
Katanya, MoU itu bertujuan memberi perlindungan lebih baik kepada pembantu rumah Indonesia melalui sistem satu saluran, yang akan dikawal oleh Indonesia dengan membolehkan Jakarta menjejaki lokasi pekerja dan terus berhubung dengan mereka.
Turut dicadangkan ialah sistem gaji dalam talian yang akan membolehkan pihak berkuasa Indonesia memantau jika pembantu rumah dibayar gaji.