Jho Low buat keputusan penting dalam TIA sebelum jadi 1MDB, mahkamah AS diberitahu

Jho Low buat keputusan penting dalam TIA sebelum jadi 1MDB, mahkamah AS diberitahu

Mahkamah Persekutuan di New York mendengar bagaimana Jho Low memainkan peranan penting memastikan Goldman Sachs dilantik bekerja dengan TIA sebelum ia diambil alih Putrajaya.

Tim Leissner berkata, Jho Low pernah menjadi penasihat Sultan Terengganu pada 2009.
PETALING JAYA:
Ahli perniagaan dalam pelarian, Low Taek Jho yang lebih dikenali sebagai Jho Low, memainkan peranan penting dalam Pihak Berkuasa Pelaburan Terengganu (TIA) sebelum agensi itu menjadi 1MDB.

Perkara berkenaan ditegaskan bekas eksekutif Goldman Sachs, Tim Leissner dalam keterangannya di Mahkamah Persekutuan, Brooklyn di New York.

Leissner adalah saksi utama dalam perbicaraan rasuah bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng berhubung skandal 1MDB.

Menurut dokumen mahkamah yang dilihat FMT, Leissner berkata, Low menjadi penasihat Sultan Terengganu pada 2009.

Bagaimanapun katanya, Low, yang didakwa menjadi dalang utama skandal 1MDB, berperanan lebih daripada sekadar penasihat dan terbabit membuat keputusan penting dalam TIA.

Sebelum ini, bekas Perdana Menteri, Najib Razak dalam perbicaraan 1MDB memberitahu mahkamah dalam negara ini bahawa beliau difahamkan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, yang dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 2009, melantik Low sebagai penasihat TIA.

Najib turut dilaporkan berkata, sebahagian besar ahli lembaga pengarah TIA dikekalkan selepas ia diambil alih kerajaan persekutuan dan dinamakan sebagai 1MDB, susulan pengalaman mereka berkhidmat dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) lain.

Leissner juga mendedahkan bagaimana Low memainkan peranan penting dalam pembabitan Goldman Sachs dalam TIA.

Katanya, Low yang mendekati Goldman Sachs untuk bekerja dengan TIA.

“Kami pernah dengar TIA ditubuhkan sebelum ini daripada sumber kami sendiri, namun ini kali pertama kami difahamkan kami mungkin boleh mengusahakan penubuhan TIA.

“Dan dia (Low) sangat pantas berurusan dengan Goldman Sachs menerusi Roger untuk urus niaga itu dan sebenarnya cuba menjayakannya.

“Kami sebenarnya perlu mendapat perniagaan ini. Ia bukan perniagaan kami ketika itu, tetapi Low mengambil setiap langkah membantu kami, membimbing kami, sehingga mendapat mandat akhirnya, iaitu mengusahakan penubuhan (TIA).”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.