Bekas Pengerusi Goldman bincang dapatkan kerja untuk 3 anak Najib, mahkamah AS diberitahu

Bekas Pengerusi Goldman bincang dapatkan kerja untuk 3 anak Najib, mahkamah AS diberitahu

Bekas Pengerusi Asia Tenggara Tim Leissner berkata demikian kepada juri dalam keterangan hari kedua pada Selasa mengenai skim 1MDB.

Mahkamah diberitahu bahawa pada 2009, bekas Pengerusi Goldman Lloyd Blankfein bertemu Perdana Menteri ketika itu, Najib Razak.
NEW YORK:
Saksi utama perbicaraan kes rasuah bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng memberi keterangan bahawa pada 2009, bekas Pengerusi Goldman Lloyd Blankfein bertemu dengan Perdana Menteri ketika itu, Najib Razak, dan pertemuan itu mempunyai agenda.

Sebagai balasan untuk perniagaan yang memberi keuntungan, Goldman akan mendapatkan pekerjaan di bank itu bagi tiga anak Najib, kata bekas Pengerusi Asia Tenggara Tim Leissner kepada juri dalam keterangan pada Selasa mengenai skandal 1MDB.

Leissner, 52, dengan panjang lebar menggambarkan bagaimana orang bawahannya dan sekumpulan rakan kongsi Goldman melakukan penyelewengan membabitkan dana 1MDB.

Dia mengaku bersalah atas tuduhan pengubahan wang haram dan memberi rasuah kepada pegawai asing. Ng, bekas ketua perbankan pelaburan di Malaysia, didakwa bersubahat dengannya dalam pengubahan wang haram dan melanggar undang-undang antirasuah Amerika Syarikat (AS).

Ng adalah satu-satunya bekas kakitangan Goldman yang dibicarakan dalam skandal itu.

Leissner memberi keterangan bahawa Ng memberitahunya Najib pergi ke New York untuk melawat anak-anaknya pada musim cuti Hari Kesyukuran.

Tambahnya, ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau Jho Low, percaya ini adalah peluang yang baik untuk Blankfein dan Najib bertemu dan mempromosikan urus niaga bon.

Selepas bertemu dengan Low, Ng berkata, Najib mahu mendapatkan pekerjaan untuk anak-anaknya di Goldman, Leissner memberitahu juri di mahkamah persekutuan di Brooklyn, New York.

Ng, yang pergi ke New York untuk bertemu bosnya di Goldman, memberitahu Leissner menerusi e-mel bahawa dia sendiri bertemu dengan anak-anak Najib, menurut Leissner.

Leissner tidak menyatakan kebimbangan mengenai perkara itu, sebaliknya dengan penuh semangat menjawab: “Bagus, mari kita ambil mereka.”

Akhirnya, menurut Leissner, dia membantu mendapatkan pekerjaan untuk anak perempuan Najib di TPG Capital.

Kekasih peras ugut belikan rumah USD10 juta, kata Leissner

Pada Selasa, apabila ditanya oleh pendakwa Drew Rolle mengenai hubungan sulitnya, Leissner memetik beberapa nama, termasuk Rohana Rozhan, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Astro Malaysia Holdings Bhd. Hubungan itu berlangsung dari 2003 hingga 2013, katanya kepada juri.

Rolle bertanya kepada Leissner sama ada dia pernah memberi Rohana sebarang wang yang diterimanya menerusi kerja membabitkan 1MDB, dan beliau mengakuinya, termasuk sebuah rumah bernilai USD10 juta di London pada 2013 selepas Rohana mengugut untuk mendedahkan penglibatan Leissner dengan 1MDB.

“(Rohana) berasa sangat tersinggung apabila saya menamatkan hubungan kami untuk bersama bakal isteri saya (ketika itu),” kata Leissner, merujuk kepada isterinya kini Kimora Lee Simmons.

“Jika saya tidak belikannya rumah, dia akan memaklumkan pihak berkuasa mengenai penglibatan saya dengan skandal 1MDB. Dia mengancam untuk mendedahkan saya. Pada ketika itu, pada 2013, saya sangat takutkan perkara itu.”

Leissner mengaku bersalah pada 2018 atas tuduhan konspirasi untuk melanggar undang-undang antirasuah AS dan bersubahat dalam pengubahan wang haram.

Dalam keterangannya, pegawai bank itu berkata, dia telah membincangkan hubungannya dengan Rohana dengan bosnya ketika itu, Richard Gnodde, dan beliau memberitahu Leissner agar “berhati-hati dengan hubungan dengan pelanggan”, katanya.

Namun, kata Leissner, dia “meneruskan hubungan itu selama 10 tahun lagi”.

“Kebanyakan (orang) di wilayah Asia Tenggara kami tahu mengenainya,” tambahnya.

Rohana meninggalkan Astro pada 2019. Beliau tidak membalas permintaan untuk mendapatkan komen yang dihantar ke akaun LinkedIn di luar waktu bekerja. Emel yang dihantar kepada Astro dan Gnodde turut tidak dibalas segera.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.