AS senarai Malaysia antara negara ‘sangat berisiko tinggi’ untuk dilawati

AS senarai Malaysia antara negara ‘sangat berisiko tinggi’ untuk dilawati

Malaysia dimasukkan ke senarai 'Tahap 4: Risiko Sangat Tinggi Covid-19' bersama Bhutan, Brunei dan Iran semalam.

Pelancong diberi amaran bahawa Malaysia adalah lokasi dengan banyak penularan Covid-19 dalam komuniti, menurut laporan CNN.
PETALING JAYA:
Malaysia dimasukkan dalam senarai destinasi pelancongan “sangat berisiko tinggi” oleh Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS).

Negara yang diletakkan pada “Tahap 4: Risiko Sangat Tinggi Covid-19” dengan lebih 500 kes bagi setiap 100,000 penduduk direkodkan dalam tempoh 28 hari.

Menurut laporan CNN, tiga negara lain turut dimasukkan dalam senarai Tahap 4 semalam, iaitu Bhutan, Brunei dan Iran. Malaysia di Tahap 3 minggu lalu.

Malaysia mencatatkan 11,034 kes Covid-19 dua minggu lalu, tetapi jumlah itu terus meningkat sehingga mencecah 27,179 jangkitan hari ini.

Setakat semalam, sebanyak 7,747 katil tidak kritikal Covid-19 di hospital dan pusat rawatan berisiko rendah digunakan atau 66% daripada keseluruhan kapasiti.

Unit Rawatan Rapi (ICU) Covid-19 pula berada pada tahap 33% daripada keseluruhan kapasiti 836 katil.

CDC memberi amaran kepada pelancong supaya tidak melawat negara dalam senarai Tahap 4.

“Anda harus mentafsir Tahap 4 yang bermakna ia adalah lokasi berlaku banyak penularan Covid-19 dalam komuniti. Jadi, jika anda pergi, peluang anda dijangkiti koronavirus lebih tinggi,” menurut penganalisis perubatan CNN, Dr Leana Wen.

Kawasan tumpuan pelancongan lain yang lebih awal disenaraikan sebagai Tahap 4 termasuk Mexico, Kanada, Perancis, Peru, Singapura dan Sepanyol. United Kingdom berada dalam Tahap 4 sejak Julai 2021.

Dalam nasihat perjalanan lebih menyeluruh, CDC mengesyorkan warganegara AS mengelakkan semua perjalanan antarabangsa, terutama bagi mereka yang tidak lengkap vaksinasi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.