27,179 kes Covid-19, 43 kematian

27,179 kes Covid-19, 43 kematian

Daripada jumlah kes baharu itu, 172 atau 0.63% pesakit termasuk dalam Kategori 3 hingga 5.

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan 27,179 kes Covid-19 dan 43 kematian semalam, termasuk 20 daripadanya diklasifikasikan sebagai kematian di luar hospital (BID).

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata daripada jumlah kes baharu itu, 172 atau 0.63% pesakit termasuk dalam Kategori 3 hingga 5.

Manakala 27,007 kes (99.37%) dalam Kategori 1 dan 2, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan meningkat kepada 3,273,958.

Hisham dalam kenyataan berkata, terdapat 1,520 pesakit baharu dimasukkan ke hospital.

Katanya, 19,037 pesakit sembuh menjadikan jumlah keseluruhan 2,974,441.

Sebanyak sembilan kluster baharu dilaporkan semalam, menjadikan keseluruhan 6,732 kluster dikesan sehingga kini dengan 505 daripadanya aktif.

Hisham berkata, terdapat 120 kes import dan baki 27,059 kes jangkitan tempatan membabitkan 26,381 warganegara serta 678 warga asing.

“Seramai 286 pesakit masih dirawat di unit rawatan rapi (ICU), dengan 99 daripadanya disahkan positif Covid-19 dan 187 lagi disyaki dijangkiti virus itu.

“Mereka termasuklah 180 pesakit memerlukan bantuan pernafasan, dengan 58 orang daripadanya positif Covid-19 dan selebihnya 122 kes masih dalam siasatan,” katanya.

Setakat semalam sebanyak, 7,532 katil Covid-19 tidak kritikal di hospital digunakan oleh pesakit Covid-19 atau 64% daripada jumlah kapasiti, sementara penggunaan katil ICU 286 atau 34% daripada kapasiti katil.

Daripada 1,520 pesakit yang dimasukkan ke hospital semalam, 975 berada dalam Kategori 1 dan 2 manakala 545 berada dalam Kategori 3, 4 dan 5.

Kadar kebolehjangkitan (R-naught atau R0) Covid-19 negara pula direkodkan pada 1.24.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.