
Beliau berkata, tindakan Jawatankuasa PAS Pusat menggugurkan beliau daripada Majlis Syura sebelum ini adalah tidak sah dan bercanggah dengan perlembagaan parti kerana ahli majlis itu tidak boleh dipecat oleh sesiapa, melainkan ahli itu meletak jawatan atau hilang kelayakan.
“Justeru kita kena betulkan perkara ini dan saya berbincang dengan Mursyidul Am PAS (Hashim Jasin) dan kemudiannya dipanggil satu mesyuarat Majlis Syura Ulama dan saya hadir sebagai Setiausaha dan ahli Majlis Syura.
“Pada mesyuarat itu, saya meletak jawatan secara rasmi bagi menjaga keharmonian parti dan meraikan hasrat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat yang mahu menghantar orang lain menjadi ahli Majlis Syura,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Khairuddin berkata demikian ketika hadir pada Majlis Penyiapan Seksyen 1 Pakej 10 dan 12, Loji Rawatan Air Langat 2.
Semalam, Khairuddin mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Setiausaha dan ahli Majlis Syura Ulama PAS yang dilakukan mengikut Fasal 8(7) dan Fasal 8(5) Perlembagaan PAS.
Beliau juga mengucapkan tahniah kepada Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Nik Muhammad Zawawi Salleh yang dilantik ke jawatan itu.
Dalam pada itu, Khairuddin juga mengulas mengenai masalah disiplin perlu ditanyakan kepada Presiden PAS, Hadi Awang.
Katanya, sebagai ahli, beliau menerima semua keputusan yang dibuat parti, namun perlu dilakukan mengikut peraturan.
Beliau juga berkata, kecenderungannya menyokong kerjasama PAS dan Umno melalui Muafakat Nasional (MN) berbanding dengan Bersatu melalui Perikatan Nasional (PN) yang dikatakan membawa kepada penggugurannya sebagai ahli Jawatankuasa PAS Pusat adalah tidak benar dan beliau hanya berpegang kepada keputusan yang dibuat parti.
“Pada 31 Dis tahun lalu, Majlis Syura Ulama menegaskan mengenai pemerkasaan PN dan MN, berbanding sebelum ini, pertahankan PN, perkasakan MN. Jadi, kita ada kewajipan kepada dasar yang dibuat ini dengan cara kita, bukan cara orang lain.
“Justeru, tiada istilah cenderung kepada MN atau PN. Saya sebagai Setiausaha pada ketika itu bertanggungjawab untuk memastikan semua ahli parti, tidak kira siapa termasuk Presiden parti sendiri mesti terikat dengan dasar ini,” katanya.