
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Antarabangsa Malaysia (MHO) Hishamuddin Hashim berkata, dasar pasaran terbuka boleh menggalakkan pengambilan yang telus dan menghalang sindiket yang dikawal “oleh kumpulan tertentu yang mempunyai keistimewaan” daripada merekrut buruh asing.
Beliau berkata, menurut amalan pengambilan semasa, kos migrasi pekerja dan kos lain ditanggung oleh pekerja.
Ini katanya, boleh mengakibatkan ikatan hutang dan kerja paksa yang sistematik.
Hishammuddin mengulas gesaan Persatuan Agensi Pengambilan Pekerja Antarabangsa Bangladesh (BAIRA) agar diwujudkan dasar pasaran terbuka untuk mengambil pekerja di negara ini.
Semua agensi pengambilan yang mempunyai lesen sah harus dibenarkan memproses bakal pekerja, kata BAIRA.
Jurucakapnya, Shameem Noman berkata, dasar pasaran terbuka akan mengurangkan kos pengambilan dan meringankan beban kewangan pekerja.
Hishamuddin berkata, sebuah jawatankuasa pilihan khas perlu menyelia sistem pengambilan pekerja.
“Dasar pasaran terbuka ini harus disertakan dengan proses permohonan yang bebas dan telus kepada agensi pengambilan. Proses pemilihan haruslah adil.
“Satu jawatankuasa pilihan khas harus dilantik untuk mengawasi keseluruhan proses dan menyemak prestasinya,” katanya.
Bagaimanapun katanya, pengambilan pekerja asing perlu selari dengan permintaan pasaran selepas mengutamakan pekerja tempatan.
“Ini kerana terdapat kira-kira 500,000 pekerja tempatan yang menganggur pada masa ini. Mengehadkan bilangan agensi tidak akan menyelesaikan masalah pengambilan pekerja asing yang berlebihan di Malaysia,” katanya.
Pengarah Eksekutif North-South Initiative Adrian Pereira berkata, monopoli ke atas pekerja asing berlaku kerana tiada pengawasan dan kriteria pengambilan tidak didedahkan kepada umum.
“Bagaimanapun, jika ia adalah pasaran terbuka, akan ada persaingan untuk memastikan pengambilan dilakukan secara adil dan mengikut garis panduan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO),” katanya kepada FMT.
Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) turut menyokong idea itu dengan berkata, pasaran terbuka akan menyediakan persaingan yang lebih hebat dan memberi majikan dan pekerja lebih banyak pilihan, selain menyemai keyakinan dalam sistem yang ditadbir dengan baik dan dikawal selia.
“FMM menyokong sistem pengambilan pekerja yang terbuka, adil, telus dan boleh dipercayai kerana kami tidak mahu majikan dan pekerja sama-sama menjadi mangsa sistem itu,” kata Presidennya, Soh Thian Lai.
“Akhirnya, sistem pengambilan tidak seharusnya mengenakan beban kos yang tidak perlu ke atas majikan dan pekerja. Lebih penting lagi, ia mesti mengikut amalan terbaik global yang akan melindungi pekerja dan hak mereka serta adil berhubung syarat yang dikenakan ke atas majikan.”