
Pengerusi Badan Amanah Teoh Beng Hock demi Demokrasi, Ng Yap Hwa berkata, anugerah mulia itu, yang membawa gelaran “Datuk Seri”, tidak seharusnya diberikan kepada penerima yang dikaitkan dengan kematian seorang warganegara.
Ng berkata, Hishamuddin merupakan pegawai utama SPRM yang bertanggungjawab ke atas soal siasat mendiang Teoh dan menyebabkan kematiannya pada 16 Julai 2009 di Plaza Masalam, iaitu premis di mana SPRM Selangor beroperasi.
“Kami khuatir pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab telah mengelirukan Yang di-Pertuan Agong. Pengurniaan darjah kebesaran yang begitu murni kepada seorang suspek yang menyebabkan kematian seorang warganegara akan mencemarkan imej baik baginda,” katanya dalam kenyataan.
Ng mendakwa, bekas Pengarah SPRM Selangor itu tidak sepatutnya menerima anugerah berkenaan dan sebaliknya perlu berdepan tindakan undang-undang berhubung kematian Teoh.
Pada 2009, Teoh, yang juga pembantu politik kepada Exco Selangor ketika itu Ean Yong Hian Wah, ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam, beberapa jam selepas dia pergi ke ibu pejabat SPRM Selangor untuk disoal siasat di tingkat 14 bangunan sama.
Suruhanjaya Siasatan Diraja yang ditubuhkan selepas insiden itu membuat kesimpulan bahawa Teoh telah didorong untuk membunuh diri dengan kaedah soal siasat agresif yang digunakan oleh pegawai SPRM.
Ia juga menyalahkan tiga pegawai badan itu atas kaedah agresif mereka, yang dikatakan melanggar prosedur.
Mahkamah Rayuan memutuskan seorang atau lebih individu tidak dikenali menyebabkan kematian Teoh, termasuk pegawai SPRM.