Polis patah kegiatan seludup 24 PATI Myanmar guna kenderaan mewah

Polis patah kegiatan seludup 24 PATI Myanmar guna kenderaan mewah

Dua pemandu kenderaan mewah itu mengaku menerima bayaran RM1,500 untuk membawa semua PATI terbabit dari Kelantan ke Kepong.

Dua puluh empat warga Myanmar yang dalam perjalanan ke ibu negara, ditahan di Tanah Merah pada pagi Ahad. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Polis berjaya mematahkan cubaan menyeludup 24 pendatang asing tanpa izin (PATI) menggunakan dua kenderaan mewah di Kampung Batu 4, Tanah Merah, Kelantan pada pagi Ahad.

Semua warga Myanmar berusia 15 hingga 41 tahun itu, termasuk seorang kanak-kanak, ditahan sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Tanah Merah yang mengesan Hyundai Starex dan Toyota Vellfire dipandu dalam keadaan mencurigakan.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Zainuddin Md Yusuf berkata hasil pemeriksaan dalam Hyundai Starex menemui 13 warga Myanmar dan 11 lagi dalam Toyota Vellfire.

“Kesemua mereka tiada dokumen perjalanan sah dan memasuki negara ini menerusi laluan haram untuk bekerja.

“Semua 11 lelaki dan 12 wanita serta seorang kanak-kanak lelaki itu diambil di kawasan Kampung Wakaf Simen, Nibong, Tanah Merah dan akan dihantar ke Kepong, Kuala Lumpur,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Beliau berkata, dua pemandu kenderaan mewah yang berusia 40 dan 49 tahun itu mengaku menerima bayaran RM1,500 untuk membawa PATI terbabit dari Kelantan ke Kepong.

Katanya, empat telefon bimbit dan dua kenderaan mewah yang disewa itu sudah disita untuk siasatan lanjut.

Beliau berkata, dua pemandu warga tempatan itu disiasat mengikut Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, manakala semua PATI itu disiasat di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

“Dua daripada warga asing berkenaan positif Covid-19 dan diasingkan dalam lokap.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.