
Katanya, kerajaan negeri seharusnya mengambil iktibar daripada sejarah kesan perjanjian pernah dimeterai kerajaan negeri sebelum ini, seperti perjanjian PDA yang menyerahkan hak eksklusif pembangunan gas dan minyak di Sabah kepada Petronas.
“Kita mesti mengambil iktibar dari sejarah perjanjian-perjanjian sebelum ini, sebagai rakyat Sabah dan penggubal undang-undang negeri, kita masih bercakap tentang tuntutan ke atas Perjanjian Malaysia.
“Kenapa sampai sekarang kita masih menuntut? Sebab pelaksanaan Perjanjian Malaysia yang dibuat pada 1963 (MA63) itu tidak sempurna dan menimbulkan banyak masalah sampai sekarang.
“Kuasa ke atas pengeluaran lesen dan permit perikanan laut dalam hanya diperoleh 58 tahun selepas MA63. Adakah itu satu pencapaian yang boleh dibanggakan? Dalam perjanjian NCA, ianya melibatkan tempoh 100 tahun, bagaimana dengan tuntutan perkampungan orang asal yang terperangkap dalam hutan simpan jika kawasan itu dimasukkan dalam NCA?,” katanya.
Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian turut berharap kerajaan lebih telus dalam perjanjian NCA.
Katanya, di media ketika ini, Peguam Negeri dan Pengarah Perhutanan secara terbuka memberi gambaran seolah-olah dalam pentadbiran kerajaan itu sendiri ada kelompongan, di mana mereka seolah-olah tidak ada koordinasi dan kesatuan sesama sendiri.
“Peguam Negeri juga menulis surat yang telah dikongsi secara terbuka mengenai beberapa perkara berkaitan perjanjian ini. Ini membimbangkan kita,” katanya.
Ewon berkata, sekiranya Timbalan Ketua Menteri Jeffrey Kitingan telus berkaitan NCA, ia boleh dimulakan dengan mengadakan sesi libat urus bersama semua pemegang taruh termasuk wakil-wakil rakyat negeri ini.
“Pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) lalu, saya telah bertanya sama ada konsultasi atau perundingan telah dibuat dengan semua pihak berkepentingan terutamanya orang asal di Sabah yang akan terkesan dan dalam jawapan itu, diberi jaminan akan ada konsultasi.
“Tetapi di kawasan saya sendiri (Kadamaian) yang berkemungkinan besar terlibat dalam perjanjian ini belum pun dipanggil untuk sesi konsultasi, jadi kalau dia (Jeffrey) memberi jaminan ada ketelusan dalam hal ini, ia harus dimulakan dengan sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan,” katanya.