
Beliau berkata, mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Covid-19 Pulau Pinang akan membuat keputusan di peringkat negeri yang bergantung kepada situasi semasa penularan wabak itu, walaupun Putrajaya membenarkan penganjuran bazar Ramadan.
“Kita akan lihat pembentangan situasi semasa Covid-19 pada mesyuarat itu sebelum membuat keputusan,” katanya dipetik Berita Harian dalam sidang media di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) di George Town.
Chow berkata, kerajaan negeri juga akan memaklumkan sebarang perubahan prosedur operasi standard (SOP) berkaitan usaha mengekang penularan wabak Covid-19 di negeri itu pada minggu depan.

“Isu memperketatkan SOP juga akan dibincang dalam mesyuarat sama berkaitan status operasi bazar Ramadan. Sebarang perkembangan akan dimaklumkan selepas mesyuarat itu minggu depan.”
Pada 14 Feb lalu, Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, tiada sekatan dikenakan ke atas kegiatan ekonomi, termasuk bazar Ramadan pada tahun ini, namun SOP akan diperhalusi dan diumumkan nanti.
Sementara itu, Chow berkata, bukan semua kes harian Covid-19 di negeri itu yang mencecah 1,000 hingga 2,000 kes sehari membabitkan varian Delta dan Omicron.
Katanya, Pulau Pinang mencatatkan 544 kes varian Delta dan 37 kes varian Omicron setakat pertengahan bulan ini.