Najib jadi nasionalis Melayu kerana PRU 2013, kata adiknya

Najib jadi nasionalis Melayu kerana PRU 2013, kata adiknya

Nazir Razak berkata, abangnya menjadi nasionalis Melayu, walaupun beliau dilantik sebagai Perdana Menteri dengan agenda berpaksikan reformasi.

Najib Razak bergambar dengan seorang peminat ketika melawat Bandar Baru Ayer Hitam di Johor hari ini. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Bekas Perdana Menteri, Najib Razak menjadi nasionalis Melayu selepas prestasi teruk pada pilihan raya umum (PRU) 2013, walaupun beliau dilantik menerajui negara pada 2009 dengan agensi berpaksikan reformasi, kata adiknya hari ini.

Nazir yang juga bekas Pengerusi Kumpulan CIMB berkata, Najib dilantik sebagai Perdana Menteri dengan cita-cita tinggi untuk melaksanakan reformasi dalam urus tadbir negara serta ekonomi.

“Beliau bermula dengan agenda berpaksikan reformasi, di mana beliau menubuhkan Pelan Transformasi Kerajaan dan Model Ekonomi Baru. Paling penting ialah tindakan afirmatif berasaskan keperluan.

“Beliau mahu merombak Dasar Ekonomi Baru dan mengambil tindakan afirmatif untuk semua orang miskin (rakyat Malaysia),” kata Nazir dalam forum anjuran Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia di United Kingdom dan Eire (Ireland).

Beliau memuji usaha Najib menyantuni pelbagai kumpulan minoriti kaum dalam negara ini, khasnya masyarakat India.

“Cara beliau berdepan sesetengah komuniti, seperti masyarakat India (Malaysia), sesetengah orang kata beliau ialah Perdana Menteri India (Malaysia) yang pertama.”

Bagaimanapun, menurut Nazir, keputusan PRU13 menyebabkan Najib berubah menjadi ahli politik pragmatis.

Barisan Nasional kembali berkuasa dengan memenangi 133 kerusi Parlimen, kurang tujuh kerusi berbanding PRU 2008, tetapi gabungan itu hilang undi popular buat julung kali dalam sejarah pilihan raya Malaysia.

“Saya rasa beliau diberitahu oleh pemimpin Umno bahawa (slogan) 1Malaysia dan idea imbangan semula (ekonomi) beliau tidak akan berhasil, serta beliau perlu menggandakan nasionalisme Melayu demi mendapat lebih banyak sokongan politik.

“Kemudian, anda dapat lihat selepas PRU13, beliau menjadi nasionalis Melayu,” kata Nazir.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.