
Peguam Shamsher Singh Thind berkata, walaupun terdapat gesaan untuk agama kanak-kanak itu dikekalkan, hakikatnya mereka memeluk Islam tanpa persetujuan ibu mereka, yang mempunyai hak penjagaan penuh.
“Perlembagaan Persekutuan menyatakan agama kanak-kanak itu akan ditentukan kedua-dua ibu bapa kanak-kanak itu, bukan atas kehendak anak atau pihak ketiga yang lain,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, masalah lain akan timbul jika penukaran agama mereka tidak dibatalkan, khasnya dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), apabila mereka dewasa dan jika memutuskan mahu berkahwin dengan orang bukan Islam.
Katanya, surat tuntutan dihantar Rabu lalu kepada pendaftar mualaf di tiga negeri mengenai status penukaran agama kanak-kanak itu, tetapi sehingga kini tiada jawapan. Mereka diberikan seminggu untuk menjawab surat tuntutan itu.
Shamsher berkata, surat itu ditujukan kepada tiga pendaftar kerana kanak-kanak terbabit bawah jagaan seorang wanita di Pulau Pinang, sebelum dimaklumkan oleh polis kemudian bahawa mereka berada di Perlis.
Sebagai langkah tambahan, katanya, pendaftar mualaf Kedah turut dimasukkan kerana bekas suami Loh pernah tinggal di Sungai Petani.
“Ya, saya dengar Mufti Perlis kata kanak-kanak itu sudah memeluk Islam di negerinya. Tetapi, saya mahu pengesahan bertulis. Sehingga itu, ia kekal sebagai khabar angin.”
Beliau berkata, jika pendaftar negeri memaklumkan kanak-kanak itu tiada dalam daftar mualaf mereka, semakan kehakiman akan digugurkan.
“Jika tidak, kami akan memfailkan semakan kehakiman, dengan atau tanpa surat itu. Kami akan memohon perintah mahkamah untuk memaksa mereka membatalkan sijil penukaran agama, sekiranya ada sijil itu.”
Shamsher turut menjelaskan mengapa Loh dinasihat memfailkan permohonan habeas corpus bagi mendapatkan semula tiga anaknya di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur esok.
Beliau berkata, permohonan habeas corpus bukan sahaja membenarkan mahkamah meneliti penahanan menyalahi undang-undang oleh agensi penguatkuasaan, tetapi juga individu perseorangan, khasnya apabila kebebasan mereka dipertaruhkan.
“Ini bukan kes hak penjagaan. Tiga kanak-kanak itu dibawa pergi dan polis hampir tidak memberi kerjasama apabila Mahkamah Tinggi mengarahkan mereka mendapatkan semula kanak-kanak itu dan menyerahkan mereka kepada ibu mereka (yang mempunyai hak penjagaan).
“Di bawah Kanun Prosedur Jenayah, habeas corpus akan membenarkan kanak-kanak itu dibawa ke mahkamah dan diserahkan kepada anak guam saya, jika permohonan kami dibenarkan.”
Walaupun terdapat dakwaan kanak-kanak itu tidak mahu tinggal dengan ibu mereka, katanya, itu tidak penting.
“Jika anak anda mahu tinggal di rumah jiran anda, dan jiran anda berkata ‘anak-anak anda tidak suka anda’, adakah itu bermakna anak-anak itu kini milik jiran?
“Kanak-kanak itu belum cukup dewasa di bawah undang-undang untuk kata mereka mahu tinggal di mana.”
Tahun lalu, Loh bercerai dengan suaminya dan diberikan hak penjagaan penuh ke atas tiga anaknya.