
Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Dr Zaini Hussin, berkata seramai 18 pesakit sedang dirawat di ICU dan 12 daripadanya memerlukan alat bantuan pernafasan.
Katanya, penggunaan katil bagi pesakit Covid-19 bukan kritikal di negeri itu juga meningkat kepada lebih 69%.
“Penggunaan katil hospital setakat ini ialah 225 daripada 325 keseluruhan katil. Peningkatan ini disebabkan kes Covid-19 bagi Kategori 2 dan 3 di negeri ini meningkat.
“Mereka yang dalam kategori ini kebanyakan dirawat di hospital kerana memerlukan pemantauan petugas kesihatan, berbanding pesakit Kategori 1 yang menjalani kuarantin kendiri di rumah.
“Bilangan pesakit dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) pula, dicatatkan pada kadar 51% atau 484 pesakit daripada 942 katil,” katanya menurut laporan Berita Harian.
Zaini berkata, terdapat dua kluster baharu dicatatkan semalam iaitu Kluster Jalan Kampung Siram dan Kluster Jalan Kampung Telok.
Beliau berkata, terdapat 65 kluster masih aktif termasuk kluster komuniti, tempat kerja dan institusi pendidikan.