
Ketua Polis Daerah Brickfields, Amihizam Abdul Shukor berkata kertas siasatan berkenaan sudah dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Putrajaya dan Kuala Lumpur.
“Kami masih menunggu arahan lanjut daripada pejabat TPR,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Sebelum ini, media melaporkan ratusan peserta yang berpakaian serba hitam menyertai himpunan itu pada 22 Jan lalu, yang turut dihadiri aktivis Adam Adli, Mandeep Singh, Fahmi Zainol, Ketua Pemuda DAP Howard Lee, Setiausaha Pemuda PKR Syukri Ab Razak dan Bendahari MUDA Tarmizi Anuwar.
Beberapa penunjuk perasaan dilihat membawa sepanduk tertera “lawan” dan “lawan korupsi”, sementara yang lain kelihatan membawa topi keledar sambil berarak dan menyanyikan lagu “Tolak Azam Baki”.
Polis hanya membenarkan mereka berarak dari Stesen LRT Bangsar ke Jalan Bangsar menuju ke persimpangan Brickfields kira-kira 600m dari tempat mereka berkumpul.
Selepas lebih sejam berkumpul, peserta himpunan itu akhirnya bersurai secara aman kira-kira 12.40 tengah hari.