Tubuh jawatankuasa bebas siasat dakwaan ke atas Thomas-Tan, gesa peguam

Tubuh jawatankuasa bebas siasat dakwaan ke atas Thomas-Tan, gesa peguam

Haniff Khatri Abdulla menggesa SPRM menyiasat tindakan Tommy Thomas dan sama ada perlindungan pemberi maklumat layak diberikan kepada pemilik Twitter Edisi Siasat.

Haniff Khatri Abdulla berkata, Jabatan Peguam Negara tidak boleh menyiasat dirinya sendiri akibat konflik kepentingan.
PETALING JAYA:
Seorang peguam menggesa Jabatan Peguam Negara menubuhkan jawatankuasa bebas untuk menyiasat dakwaan bekas Peguam Negara, Tommy Thomas membebaskan anak taikun Vincent Tan daripada tuduhan serius berkaitan dadah.

Haniff Khatri Abdulla berkata, pihak berkuasa, khasnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), perlu menyiasat dakwaan itu dan melihat sama ada perlindungan untuk pemberi maklumat layak diberikan kepada pemilik Twitter Edisi Siasat yang membuat dakwaan itu.

Haniff berkata, jawatankuasa siasatan khas bebas perlu dibentuk Jabatan Peguam Negara kerana jabatan itu tidak boleh menyiasat dirinya sendiri akibat konflik kepentingan.

Terdahulu, Thomas hari ini menafikan beliau bertindak secara korup dalam mengendalikan kes anak Tan, yang ditahan atas kesalahan dadah semasa beliau memegang jawatan itu.

Akaun Twitter Edisi Siasat, yang baru-baru ini menukar namanya kepada Edisi Khas, mendakwa walaupun anak lelaki Tan ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya kerana terlibat dengan kuantiti dadah sangat besar, Thomas mengklasifikasikan kes itu sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

Thomas berkata, dakwaan beliau korup dalam konteks hantaran Edisi Khas itu membawa maksud beliau menerima rasuah.

Beliau memberi jaminan kepada rakyat sepanjang kerjaya profesional dan kehidupan peribadinya, beliau tidak pernah merasuah.

“Sepanjang saya berkhidmat sebagai penjawat awam, saya tidak pernah menerima rasuah,” katanya.

Haniff berkata, pemberi maklumat, polis, pendakwa raya dan sesiapa sahaja yang terlibat dalam kes itu perlu disiasat.

“Sama ada dakwaan itu benar atau tidak, ia mesti disiasat kerana terdapat pendedahan dan penafian oleh Thomas.

“Tindakan pantas Thomas dipuji, tetapi ia tidak bermakna kenyataannya menyebabkan siasatan ke atas kes itu dihentikan,” katanya dalam kenyataan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.