‘Move on’, tak perlu ugut, rundingan selesai, PKR Johor beritahu MUDA

‘Move on’, tak perlu ugut, rundingan selesai, PKR Johor beritahu MUDA

Ketua PKR Johor, Syed Ibrahim Syed Noh menganggap rundingan agihan kerusi bersama MUDA sudah selesai.

Presiden PKR, Anwar Ibrahim (tengah) bersama tujuh calon PKR bagi Zon Timur dan Tengah yang diumumkan di Pasir Gudang hari ini.
PASIR GUDANG:
PKR Johor meminta MUDA “move on” dan tidak membuat ugutan atau ancaman berkaitan rundingan agihan kerusi dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor.

Ketuanya, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, beliau menganggap rundingan bersama MUDA sudah selesai dan kini masa untuk PKR memfokuskan semua 20 calon yang diumumkan.

Katanya, beliau sudah memberi tempoh 48 jam kepada MUDA, namun tiada jawapan dan maklum balas diterima menyebabkan PKR terpaksa mengumumkan semua calon yang ditentukan.

“Kalau ikut (MUDA) boleh hubungi runding lagi, tapi bila saya baca kenyataan Syed Saddiq (Syed Abdul Rahman) itu bagi saya dah habis, selesai (rundingan).

“Tetapi kita tetap anggap (MUDA) sama-sama sebagai pembangkang dan melawan musuh yang sama. Tak perlulah ancam atau ugut, MUDA ada enam kerusi, tandinglah bersungguh-sungguh, kita (PKR) ada 20,” katanya ketika ditemui di sini.

Syed Ibrahim semalam dilapor mendedahkan rundingan pembahagian kerusi dengan MUDA gagal kerana parti itu menuntut kerusi di kawasan bandar dan campuran.

Bercakap kepada FMT, beliau mengakui kerusi bandar dan campuran antara kerusi paling mencabar serta sukar, namun PKR tidak akan menyerahkannya kepada parti lain dengan mudah.

Terdahulu, Presiden PKR, Anwar Ibrahim hari ini mengumumkan tujuh lagi calon, menjadikan keseluruhan 20 calon akan mewakili parti itu bertanding dalam PRN Johor bulan depan.

Dua daripadanya ialah Exco Pemuda PKR Johor, Omar Mokhtar A Manap, 29, (Johor Lama) yang juga calon termuda dikemukakan PKR dan Khairuddin Abd Rahim (Senggarang) yang akan mempertahankan kerusi itu.

Lima lagi calon lain ialah Haryati Abu Nasir (Semarang), Haniff@Ghazali Hosman (Benut), Mohd Zaiful Bakri (Kukup), Zulinah A Johari (Tenggaroh) dan Rosman Tahir (Tanjung Surat).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.