
Warganet menyuarakan kemarahan dengan berkata, nampaknya tidak banyak persediaan dilakukan pada hari pertama operasi kiosk MySejahtera.
Ratusan orang ke kiosk itu, namun mereka hanya diberitahu ia terhad kepada 500 orang hari ini.
Seorang pengguna Instagram berkata, tiada tanda dan panduan menunjukkan lokasi pengguna sepatutnya beratur kerana tempat itu turut digunakan untuk program vaksinasi.
Beliau berkata, ramai daripada mereka terpaksa berjalan jauh ke depan untuk mengetahui sama ada mereka berada dalam barisan betul.
Seorang lagi pengguna di Facebook berkata, ramai tidak mengamalkan penjarakan fizikal sehingga menimbulkan kebimbangan penularan Covid-19 dalam kalangan mereka yang beratur.
Beliau berkata, petugas di pusat itu dilihat cuba meminta individu beratur supaya mengamalkan penjarakan fizikal, tetapi tidak berjaya kerana jumlahnya terlalu ramai pada satu ketika.
“Kami keliru. Terdapat dua barisan, satu untuk vaksinasi dan satu lagi untuk kiosk bantuan,” kata SS Yoga kepada FMT.
Memburukkan lagi keadaan, beliau berkata, terdapat kuota untuk menyelesaikan isu teknikal hari ini, yang hanya diberitahu ketika mereka mengumumkan pembukaan kiosk itu.
Yoga berkata, petugas di kiosk bantuan memberitahu mereka hanya mampu melayan 500 pengguna sehari.
“Mereka tidak mengumumkan perkara ini sebelum ini, bagaimana kita tahu? Mereka yang tidak berjaya hari ini, diminta datang semula esok.”
MySejahtera berusaha menangani isu kuota dengan menulis di Twitter: “Untuk mengelakkan kesesakan, hanya 400 tiket akan dikeluarkan setiap hari dari 9 pagi sehingga mereka selesai.”
Dua hari lalu, Kementerian Kesihatan mengumumkan kiosk bantuan fizikal akan disediakan di lokasi terpilih bagi membantu menyelesaikan isu teknikal melibatkan aplikasi MySejahtera.
Kiosk bantuan pertama mula beroperasi di WTC hari ini. Satu lagi akan mula beroperasi di Pusat Konvensyen Ideal di Shah Alam pada 26 Feb ini. Kiosk terbabit akan dibuka setiap hari sehingga 15 Mac.
Terdapat banyak aduan daripada pengguna MySejahtera berkaitan maklumat salah dalam aplikasi itu dan tidak menerima sijil vaksinasi dalam aplikasi.
FMT telah meminta komen daripada KKM.