Lagi kematian dalam tahanan, kali ini di Johor

Lagi kematian dalam tahanan, kali ini di Johor

Ini adalah kes kesembilan membabitkan kematian dalam tahanan tahun ini.

Polis berkata orang kena tahan (OKT) itu dimasukkan ke wad sejak 16 Feb kerana demam serta muntah dan disahkan positif Covid-19 selepas ujian dijalankan. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Polis melaporkan satu lagi kes kematian dalam tahanan, kali ini membabitkan seorang lelaki berusia 43 tahun di Kota Tinggi, Johor.

Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Azri Ahmad, berkata lelaki itu meninggal dunia ketika dirawat di hospital Kota Tinggi, 4.15 pagi semalam.

Katanya, orang kena tahan (OKT) itu dimasukkan ke wad sejak 16 Feb kerana demam serta muntah dan disahkan positif Covid-19 selepas ujian dijalankan.

“Punca kematian belum diketahui,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, lelaki itu yang ditahan pada 21 Jan sedang menunggu perbicaraan selepas didakwa mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 di mahkamah pada 25 Jan.

“Jamin telah ditawarkan namun OKT gagal sediakan penjamin menyebabkannya diperintah menjalani tahanan reman empat hari di penjara.

“OKT ditumpangkan sementara dalam lokap polis ekoran penularan wabak Covid-19 di penjara.

Azri berkata, Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT) JIPS Bukit Aman akan menjalankan siasatan kes kematian itu.

Ini adalah kes kesembilan membabitkan kematian dalam tahanan tahun ini.

Menurut polis, daripada sembilan kes kematian dalam tahanan hanya satu melibatkan unsur jenayah.

Bakinya, empat meninggal dunia dalam lokap, tiga kematian di hospital dan satu kes meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.