Tuduhan terhadap saya ada motif tersembunyi, kata Ebit Lew

Tuduhan terhadap saya ada motif tersembunyi, kata Ebit Lew

Pendakwah bebas terkenal itu mengaku tidak bersalah terhadap 11 pertuduhan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

Majistret Nur Asyraf Zolhani menetapkan 20 hingga 23 April sebagai tarikh perbicaraan dan membebaskan Ebit Lew dengan jaminan sebanyak RM1,000 bagi setiap pertuduhan.
PETALING JAYA:
Pendakwah bebas terkenal, Ebit Lew melabelkan dakwaan gangguan seksual terhadap beliau sebagai “tidak berasas dan mempunyai motif tersembunyi”.

Beliau mendakwa, ia bertujuan untuk merosakkan reputasi dan menghalangnya daripada menjalankan kerja amal.

“Tuduhan ini tidak berasas dengan motif tersembunyi untuk merosakkan kredibiliti saya dan menghalang daripada melakukan kerja amal,” katanya ketika ditemui di pekan Tenom di pedalaman Sabah.

“Saya percaya ada kumpulan di luar sana yang cuba menuduh saya.”

Ebit, 37, berkata, dia hanya mengetahui pertuduhan itu beberapa hari lalu.

“Saya terkejut dan hanya mengetahui perkara ini ketika sedang menjalankan kerja amal di Sabah. Saya sebenarnya tidak berada di sini untuk kes mahkamah.

“Tetapi saya tidak bimbang (selepas mengetahui pertuduhan yang dikenakan terhadapnya) kerana saya tahu saya tidak bersalah. Saya percaya ini ujian daripada Allah,” katanya.

Terdahulu, Ebit yang didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan mengaku tidak bersalah terhadap kesemua 11 pertuduhan gangguan seksual di Mahkamah Majistret, di Tenom.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dikenakan penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Majistret Nur Asyraf Zolhani menetapkan 20 hingga 23 April sebagai tarikh perbicaraan. Mahkamah turut membebaskan Ebit selepas dia membayar ikat jamin sebanyak RM1,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.