
Ahli Parlimen Muar itu juga membayangkan kemungkinan berlakunya risiko pertindihan kerusi di Johor antara dua parti itu.
Bagaimanapun Syed Saddiq berkata, MUDA sudah memaklumkan kepada DAP dan Amanah supaya mengelakkan sebarang pertindihan kerusi MUDA-PKR dan pada masa sama terbuka untuk meneruskan rundingan dengan PKR bagi mencapai kata sepakat.
“Jika tidak ada sebarang perkembangan dan perubahan keputusan daripada pimpinan PKR berkaitan kerusi MUDA-PKR, pimpinan MUDA akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan jalan ke hadapan pada hujung minggu ini.
“Sekiranya pertindihan kerusi antara MUDA-PKR tidak dapat dielakkan, MUDA akan serahkan keputusan di tangan rakyat Johor,” katanya dalam kenyataan.
Awal bulan ini, DAP dan Amanah membuat keputusan menyerahkan enam kerusi kepada MUDA untuk pilihan raya negeri (PRN) Johor, iaitu Puteri Wangsa, Tenang, Bukit Kepong, Parit Raja, Machap dan Bukit Permai. Tawaran itu disifatkan lebih menarik berbanding PKR yang hanya memberikan tiga kerusi kepada MUDA.
Di Johor, PKR bertindak mengumumkan calonnya secara bersendirian sejak minggu lepas.
Pada 14 Feb, PKR mengumumkan lima kerusi yang akan ditandinginya bagi zon selatan dan tujuh kerusi lagi bagi zon utara pada keesokannya, sementara Maszlee Malik dicalonkan untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-Layang.