
Bendahari MUDA Tarmizi Anuwar, berkata orang ramai akan lebih terlibat dalam proses politik melalui inisiatif berkenaan, selain parti ini perlu bertanggungjawab terhadap perbelanjaannya.
“Setiap penderma dihadkan kepada sumbangan kepada RM200,000 dan wang itu akan dipindahkan ke akaun bank MUDA kepada calon dipilih parti,” katanya semasa pelancaran, hari ini.
Beliau menambah, mengumpul dana untuk PRN Johor akan menjadi platform bagi menggubal Akta Pembiayaan Politik yang telah diluluskan di kebanyakan negara maju.
“Dengan undang-undang ini, dana parti politik akan dikawal dengan lebih baik untuk mengelakkan penyelewengan dan rasuah,” katanya.
Tarmizi juga berkata “100%” daripada jumlah dibelanjakan untuk PRN Johor akan diperincikan termasuk dipaparkan kepada orang ramai.
Setiausaha Agung MUDA Amira Aisya Abd Aziz, yang akan bertanding di kawasan Puteri Wangsa, berkata sumbangan ini adalah penting untuk kejayaan parti itu, menjelang PRN Johor.
“Wang itu akan digunakan untuk bahan kempen, logistik dan untuk kami menjalankan kempen hibrid (dalam talian dan lapangan) bagi memastikan kami mematuhi SOP Covid-19,” katanya.
Dalam rakaman video, Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata sebelum ‘Sapot Muda’ dilancarkan, parti itu sudah menerima sumbangan berjumlah RM100,000 daripada 1,800 penderma.
“Kami akan meneruskan usaha ini untuk memastikan MUDA mendapat tempat di Johor untuk memperjuangkan masa depan semua orang,” katanya.
Kempen pembiayaan akan berlangsung sehingga 28 Feb.