
“Ini perlu dihentikan,” kata Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii, dalam ciapan di Twitter, hari ini, selepas berkongsi semula ciapan membabitkan petikan video memaparkan pimpinan Umno tidak mematuhi peraturan penjarakan fizikal.
Katanya, isu utama yang berlaku ketika ini adalah “kesombongan pemimpin enggan mematuhi SOP yang mereka sendiri tetapkan”, namun mahu rakyat mematuhinya.
Beberapa pimpinan tinggi kerajaan yang hadir di majlis di Johor itu, adalah Naib Presiden Umno Ismail Sabri Yaakob yang juga Perdana Menteri, Ketua Barisan Nasional (BN) Johor Hasni Mohammad, yang juga Menteri Besar sementara, Ahli Parlimen Tanjung Karang Noh Omar, yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, dan Ahli Parlimen Arau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan Shahidan Kassim.
Yii berkata, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, tidak boleh lagi beranggapan pelanggaran SOP hanya dapat diatasi hanya sekadar memberi kompaun semata-mata.
Katanya, Ismail tidak sepatutnya menggunakan alasan sama di mana tidak sedar pelanggaran SOP berlaku di majlis berkenaan kerana kebiasaannya ada pegawai memeriksa kawasan majlis dianjurkan sebelum kedatangannya.
“Sebagai perdana menteri, beliau mempunyai tanggungjawab menunjukkan teladan. Tapi, saya rasa peraturan normal tidak terpakai bagi mereka,” katanya.
Awal minggu ini, Menteri Kanan Hishammuddin Hussein, ‘ditangkap’ selepas dilihat bercampur bersama hadirin dalam pelancaran briged MIC Johor, di Kota Iskandar. Susulan itu, Khairy mengarahkan notis kompaun dikeluarkan kerana melanggar peraturan penjarakan fizikal.