MUDA tuntut kerusi bandar punca rundingan gagal, dedah Ketua PKR Johor

MUDA tuntut kerusi bandar punca rundingan gagal, dedah Ketua PKR Johor

Ketua PKR Johor Syed Ibrahim Syed Noh berkata MUDA menuntut kerusi bandar dan campuran yang mana PKR mempunyai kekuatan.

Syed Ibrahim Syed Noh yang juga Ahli Parlimen Ledang berkata, tiga kerusi ditawarkan kepada MUDA sebelum ia ditolak dan parti itu masih menuntut kerusi lain selain daripada yang ditawarkan.
PETALING JAYA:
Ketua PKR Johor Syed Ibrahim Syed Noh mendedahkan bahawa rundingan pembahagian kerusi dengan MUDA gagal susulan parti itu mahu menuntut kerusi bandar dan campuran.

Bercakap kepada FMT, beliau mengakui kerusi bandar dan campuran adalah antara kerusi paling mencabar dan sukar, namun PKR tidak akan menyerahkannya kepada parti lain dengan mudah.

“Kekuatan kita ada di kerusi campuran terutama di bandar-bandar … kerusi bandar ni kerusi sukar tetapi itulah kekuatan kita.

“Kalau kerusi kita dah buat kerja, kita dah sediakan kekuatan kita di situ, sukarlah kita nak serahkan kepada parti lain begitu sahaja,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas kenyataan Presiden MUDA Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bahawa rundingan pengagihan kerusi dengan PKR tamat tanpa persetujuan susulan langkah parti itu mengumumkan 20 calonnya secara bersendirian.

Ahli Parlimen Muar itu juga membayangkan kemungkinan berlakunya risiko pertindihan kerusi di Johor antara dua parti itu.

Mengulas lanjut, Syed Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Ledang berkata, tiga kerusi yang ditawarkan kepada MUDA sebelum ini ditolak dan parti itu masih menuntut kerusi lain selain daripada yang ditawarkan.

“Ia turut menjadi sulit apabila kerusi yang ‘dituntut’ merupakan kerusi bandar dan campuran yang tidak mudah dicatur tanpa mengambil kira kekuatan yang ada pada PKR. Justeru, rundingan tidak dapat diteruskan,” jelasnya.

Beliau turut menegur Syed Saddiq agar berpijak di bumi nyata dengan mengambil kira kesesuaian kerusi yang mahu ditandingi.

“Kita kena lihat kekuatan sebenar supaya akhirnya paling penting untuk kita dapatkan kemenangan. Tak bolehlah hanya lihat percaturan (parti) sahaja tetapi kena tengok juga kesesuaian kerusi tersebut,” katanya.

Dalam pada itu, Naib Presiden Wanita PKR Faizah Ariffin, berkata, parti itu perlu meletakkan calon di kerusi yang ditandingi MUDA terutamanya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa.

“MUDA bukanlah gabungan PH dan saya kira tiada masalah untuk bertemu sesama sendiri di gelanggang sebenar,” katanya dalam kenyataan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.