Siasatan kes 5 pegawai MARA 99% siap, kata SPRM

Siasatan kes 5 pegawai MARA 99% siap, kata SPRM

SPRM berkata kertas siasatan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya serta Bahagian Perundangan dan Pendakwaan agensi anti rasuah itu.

SPRM juga sedang menyiasat dakwaan penyalahgunaan kad kredit korporat MARA Corporation, dengan menumpukan aspek terma rujukan penggunaan kad kredit itu.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam fasa akhir melengkapkan siasatan membabitkan lima pegawai kanan Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang didakwa terlibat dalam isu integriti.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Ahmad Khusairi Yahaya berkata siasatan kini 99% siap dan ia akan diserahkan kepada Bahagian Perundangan dan Pendakwaan agensi itu, selain Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan lanjut selepas disiapkan.

“Selain pembabitan lima pegawai itu, SPRM dalam masa sama sedang menyiasat dakwaan penyalahgunaan kad kredit korporat MARA Corporation (MARA Corp),” katanya menurut laporan Bernama.

Beliau berkata, SPRM akan memfokuskan aspek terma rujukan penggunaan kad kredit terbabit, sama ada boleh digunakan untuk tujuan peribadi atau rasmi dalam siasatannya, dan membuat kesimpulan keseluruhan berhubung siasatan itu tidak lama lagi.

Pada 5 Feb lalu, SPRM mengesahkan menerima satu laporan berhubung dakwaan isu integriti melibatkan beberapa pegawai kanan MARA, yang sedang disiasat secara dalaman oleh agensi itu, sebelum menyerbu dan merampas beberapa dokumen daripada MARA, MARA Corp dan sebuah syarikat setiausaha korporat pada 7 Feb.

Kes MITRA

Mengenai penyelewengan geran dana Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA), Ahmad Khusairi berkata 27 entiti termasuk syarikat, individu dan badan bukan kerajaan disiasat SPRM berhubung kes berkenaan.

Katanya, SPRM telah menyiapkan kertas pendakwaan terhadap sekurang-kurangnya 10 syarikat, dan dua individu akan dituduh di mahkamah di Ipoh dan Kuala Lumpur esok berhubung penyelewengan dana itu.

Sebelum ini, SPRM menahan 22 individu dalam operasi di tujuh negeri dalam siasatan berhubung MITRA.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.