
Beliau berkata, pelan itu dijangka mampu mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga buruh asing dan meminimumkan pengaliran mata wang ke luar negara.
Di bawah pelan berkenaan, kerajaan menyasarkan kepadatan robot meningkat daripada 55 unit bagi setiap 10,000 pekerja pada 2019 kepada 195 unit bagi setiap 10,000 pekerja pada 2030, katanya dalam kenyataan di sini.
Ismail berkata, pelan itu antara keputusan dicapai dalam mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Revolusi Perindustrian Keempat Negara (MED4IRN) yang kali pertama diadakan tahun ini.
Selain pelan berkenaan, beliau berkata, mesyuarat dihadiri Menteri serta Ketua Jabatan dan Agensi yang terlibat secara dalam talian itu, turut menyokong konsep Projek Pemangkin (Catalytic Projects) bagi memacu Aspirasi MyDIGITAL.
Ke arah itu, Katanya, mesyuarat bersetuju menubuhkan Pasukan Petugas Projek Pemangkin MyDIGITAL untuk memilih projek sesuai dan memantau pelaksanaannya yang merupakan kerjasama antara sektor awam dan swasta.
Beliau berkata, projek pemangkin itu akan dibiayai sektor swasta dan kerajaan memainkan peranan sebagai pemudah cara.
Katanya, antara contoh projek pemangkin termasuk perubatan pintar yang menyasarkan penubuhan hospital menggunakan teknologi 5G dan bandar pintar.
Ismail berkata, mesyuarat turut dimaklumkan kemajuan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA), yang menyaksikan 1.89 juta premis baharu diliputi capaian gentian optik dan 1,189 menara 4G baharu dibina dari September 2020 hingga Disember 2021.
Dalam tempoh sama, katanya, 95% kawasan berpenduduk telah mendapat liputan 4G.
Selain itu, mesyuarat dimaklumkan Digital Nasional Berhad (DNB) turut memulakan akses kepada rangkaian borong 5G dengan 500 tapak 5G diaktifkan setakat 31 Dis 2021 di Putrajaya, Cyberjaya dan Kuala Lumpur.
“DNB juga menyasarkan 3,500 tapak, bersamaan 36% liputan di kawasan berpenduduk pada penghujung 2022.”
Melalui program Pemerkasaan Pendigitalan Usahawan Kecil (PUPUK) pula, beliau berkata, 883 Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) sedang beroperasi, manakala 28 lagi akan beroperasi menjelang 31 Mac ini di seluruh negara.
Sementara itu, Ismail berkata, sempena ulang tahun pertama pelancaran Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (RTEDM) serta pengenalan MyDIGITAL, beberapa program telah dan akan dilaksanakan sepanjang Februari dan Mac.
Ini termasuk Technopreneur Industry Dialogue, beberapa siri dialog anjuran Bank Dunia dan MyDIGITAL Corporation, Program Transformasi Digital Pasar Siti Khadijah di Kota Bharu, Kelantan; Sesi Perbincangan Meja Bulat mengenai Islamic Digital Technology dan Program Celik Digital Penjawat Awam.
“Keberhasilan MyDIGITAL akan menjadi penentu kejayaan pendigitalan Keluarga Malaysia seperti yang diharapkan menjelang 2030.”