
Presiden Badan Peguam AG Kalidas berkata, pihak pendakwaan perlu mengambil kira umur remaja itu dan keadaan kes apabila mengenakan tuduhan.
“Memandangkan usianya, dia jelas menjadi mangsa rogol statutori. Remaja perempuan itu berkemungkinan mengalami keadaan mental dan emosi yang teruk akibat pengalaman pahit itu,” katanya dalam kenyataan.
Kalidas berkata, Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) diberi kuasa menyediakan bantuan guaman kepada kanak-kanak yang menyalahi undang-undang, tetapi penguat kuasa juga perlu memainkan peranan.
“Polis mesti terus memberi akses representasi guaman buat kanak-kanak dan ibu bapa atau penjaga mereka dari saat tangkapan atau tahanan.
“Mahkamah mesti menolak untuk meneruskan sebarang prosiding undang-undang sehingga kanak-kanak itu mendapat nasihat dan representasi guaman,” katanya.
Beliau berkata, ini selaras dengan Konvensyen mengenai Hak Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang ditandatangani Malaysia.
Beliau juga berkata, pemulihan mungkin lebih bermanfaat bagi mangsa, berbanding dilayan sebagai penjenayah menerusi sistem keadilan.
Remaja perempuan itu dinafikan ikat jamin oleh Mahkamah Majistret Kemaman selepas didakwa membunuh anak lelakinya yang baharu lahir mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan pada Selasa.