
Ditanya sama ada ia bermakna PKR mungkin meninggalkan Pakatan Harapan (PH) suatu hari nanti, Ahmad Fauzi Abdul Hamid daripada Universiti Sains Malaysia berkata, terlalu awal untuk membuat andaian sedemikian.
“PKR ibarat enjin PH. Tanpa PKR, dakwaan bahawa PH adalah sebuah gabungan nasional yang luas hilang justifikasinya,” katanya kepada FMT.
Pelancaran rasmi MUDA di Kuala Lumpur dihadiri oleh pemimpin tertinggi DAP, Amanah dan Warisan dan juga wakil Parti Aspirasi Sains Malaysia yang masih belum berdaftar.

DAP dan Amanah memberi laluan kepada MUDA dalam enam pertandingan pada pilihan raya negeri (PRN) Johor bulan depan, tetapi rundingan antara MUDA dan PKR masih belum membuahkan hasil.
Fauzi berkata, ketiadaan PKR pada majlis seumpama itu mungkin strategik.
Pemimpinnya mungkin tidak mahu dilihat “terlalu rapat dengan DAP” bagi meminimumkan kehilangan undi orang Melayu pada PRN yang akan berlangsung pada 12 Mac itu, katanya.
Pada sidang media selepas pelancaran itu, Presiden MUDA Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, PKR dan Pejuang dijemput tetapi “kedua-duanya tidak menghantar wakil”.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Muar itu merujuk kepada pemimpin PKR sebagai “rakan-rakan kita yang tidak hadir”.
Diminta mengulas mengenai ketiadaan wakil PKR, Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil memberitahu FMT bahawa MUDA ada menghantar jemputan kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim “tetapi beliau tidak dapat hadir”.

Fahmi membuat spekulasi bahawa mungkin tiada sebarang susulan antara pejabat PKR dan MUDA berhubung perkara itu.
Oh Ei Sun daripada Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, penjelasan Fahmi mungkin benar tetapi tambahnya, ia tidak menguntungkan atau merugikan PKR mahupun MUDA.
Beliau berkata, mereka berkemungkinan bertembung di beberapa kerusi “kerana mereka mengejar kohort pengundi yang sama”.