Bentang kertas putih reformasi kesihatan di Dewan Rakyat akan datang, kata kumpulan perubatan

Bentang kertas putih reformasi kesihatan di Dewan Rakyat akan datang, kata kumpulan perubatan

Gabungan Kesihatan Malaysia (MHC) berkata cadangan kertas putih oleh Menteri Kesihatan dan pembentukan suruhanjaya reformasi kesihatan itu perlu disegerakan.

Gabungan Kesihatan Malaysia (MHC) berkata, cadangan kertas putih oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dan pembentukan suruhanjaya reformasi kesihatan perlu disegerakan dan Ahli Parlimen perlu menyokongnya.
PETALING JAYA:
Sebuah gabungan kumpulan perubatan menggesa Kementerian Kesihatan supaya membentangkan cadangan kertas putih reformasi sistem kesihatan pada sidang Dewan Rakyat akan datang.

Gabungan Kesihatan Malaysia (MHC) turut menyambut baik penyelesaian jangka sederhana untuk doktor kontrak seperti diumumkan Putrajaya baru-baru ini dan berterima kasih kepada Kementerian Kesihatan (KKM) yang sudi mendengar pandangan beberapa pihak mengenai perkara itu.

Namun katanya, cadangan kertas putih oleh Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dan pembentukan suruhanjaya reformasi kesihatan itu perlu disegerakan dan Ahli Parlimen perlu menyokongnya.

“Suruhanjaya reformasi kesihatan mesti diberi mandat dan sumber untuk mengukuhkan serta melindungi sistem penjagaan kesihatan kita, termasuk kebajikan dan pembangunan tenaga kerja penjagaan kesihatan,” katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini Khairy berkata, kertas putih itu akan memastikan sistem kesihatan negara “kalis masa depan” apabila suruhanjaya reformasi kesihatan akan menjadi badan pelaksana untuk semua reformasi yang dipersetujui dalam dokumen dan bertanggungjawab kepada Parlimen.

“Ini bagi memastikan apabila menteri baharu datang, tidak akan ada apa-apa perubahan sebab KKM dan menteri fokus kepada dasar dan pelaksanaan dasar,” katanya pada 15 Jan.

MHC juga berkata, pengagihan profesional penjagaan kesihatan yang tidak sama rata masih menjadi isu apabila kebanyakan sumber tertumpu di kawasan bandar.

Ia menggesa agar peruntukan belanjawan tahunan KKM ditingkatkan melebihi 5% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk menggaji lebih ramai profesional penjagaan kesihatan dan mengagihkannya secara adil ke seluruh negara.

Katanya, proses pemindahan dalam kementerian harus tepat pada masanya serta telus dan Putrajaya juga digesa menambah baik insentif dan elaun kakitangan kesihatan yang dihantar ke kawasan terpencil sama ada secara tetap atau kontrak.

Gabungan itu juga berkata, Putrajaya mesti mengawal pengambilan pelajar perubatan untuk mencapai nisbah sasaran kementerian, iaitu seorang doktor bagi setiap 400 rakyat menjelang 2025, yang bermaksud ia melibatkan 4,000 graduan perubatan baharu setiap tahun.

“Buat masa ini, terdapat lebih 6,000 graduan baharu setiap tahun. Dengan kekosongan jawatan yang terhad dalam kerajaan, ramai yang terpaksa melalui proses lanjutan kontrak.

“Kami berharap satu penyelesaian yang saksama dan mampan dapat dilakukan untuk melindungi profesional penjagaan kesihatan dan kesihatan negara kita,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.