Adakah kerajaan sengaja lengah bentang Undang-undang Anti Lompat Parti, soal Ahli Parlimen

Adakah kerajaan sengaja lengah bentang Undang-undang Anti Lompat Parti, soal Ahli Parlimen

Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh berkata alasan belum mencapai konsensus berhubung definisi lompat parti sebagai tidak berasas.

Ramkarpal Singh berkata, contoh paling asas berhubung lompat parti sudah boleh ditangani dalam cadangan Rang Undang-undang Anti Lompat Parti. (Bernama pic)
PETALING JAYA:
Kerajaan seolah-olah sengaja melengahkan pembentangan undang-undang antilompat parti selepas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar, mendakwa belum mencapai konsensus berhubung definisi “lompat parti”.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh berkata, kerajaan juga tidak perlu memberi penjelasan melainkan menunaikan janjinya untuk membentangkan undang-undang itu selaras pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) bersama pembangkang tahun lalu.

“Dakwaan Wan Junaidi yang menyatakan kesukaran memuktamadkan dan meluluskan cadangan undang-undang antilompat parti kerana perbezaan takrifan adalah tidak berasas.

“Mungkin ada pelbagai pilihan takrifan untuk memperincikan maksud lompat parti, namun yang pasti contoh paling asas yang menonjol sudah boleh ditangani sekarang dalam cadangan Rang Undang-undang Anti Lompat Parti,” katanya.

“Individu keluar parti mengejut dan menyertai parti yang memegang kuasa atau menjadi wakil Bebas tetapi mesra parti berkuasa adalah contoh paling terang menunjukkan individu itu meninggalkan partinya untuk parti lain dengan motif tersembunyi.”

Beliau berkata, undang-undang antilompat parti, termasuk pindaan perlembagaan bersesuaian boleh mengharamkan “tindakan mengejut” melompat parti.

Ramkarpal, yang juga Pengerusi Biro Undang-Undang DAP berkata, kegagalan membentangkan undang-undang itu pada persidangan Parlimen akan menjurus kepada hakisan keyakinan dalam kalangan rakyat.

Katanya, ia hanya membuktikan kerajaan kurang azam politik untuk memperkenalkan peraturan antilompat, selain menimbulkan keraguan sama ada kerajaan benar-benar mahu meluluskan undang-undang sedemikian.

Ramkarpal berkata, susulan itu, ia memberi justifikasi kepada pembangkang untuk menilai semula penyertaan mereka dalam MoU bersama kerajaan.

Terdahulu, dilaporkan Pakatan Harapan (PH) memberi amaran kepada kerajaan bahawa MoU yang dimeterai akan terbatal jika Rang Undang-undang Anti Lompat Parti tidak dibentangkan pada sesi persidangan Dewan Rakyat akan datang.

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim berkata, PH sudah memaklumkan kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob bulan lalu bahawa MoU akan “terbatal dengan sendiri” jika tuntutan itu tidak ditunaikan.

Hari ini, kumpulan pendesak reformasi pilihan raya, BERSIH berkata, kelulusan undang-undang antilompat parti di Parlimen akan mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap sistem pilihan raya dan memberi sebab kepada pengundi untuk keluar mengundi beramai-ramai pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.