Sebelum Aidilfitri masa paling tepat keluar i-Citra, kata Najib

Sebelum Aidilfitri masa paling tepat keluar i-Citra, kata Najib

Bekas perdana menteri itu berkata pengeluaran khas kali terakhir i-Citra bagi ahli yang terjejas boleh dilaksanakan selepas dividen 2021 KWSP dibayar tidak lama lagi.

Menurut Najib Razak, sokongan yang dinyatakan secara terbuka oleh Ahmad Fadhli Shaari dijangka mendapat sokongan menteri PN dan menjadikan permintaan rakyat itu suatu realiti. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Bekas Perdana Menteri Najib Razak mencadangkan supaya pengeluaran khas kali terakhir i-Citra bagi ahli yang terjejas boleh dilaksanakan selepas dividen 2021 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dibayar tidak lama lagi.

Ahli Parlimen Umno itu juga berpendapat bahawa masa yang tepat bagi pengeluaran khas itu adalah sebelum Hari Raya Aidilfitri.

“Pada pendapat saya, masa yang paling tepat bagi kerajaan membenarkan pengeluaran khas kali terakhir i-Citra bagi ahli yang terjejas ialah selepas dividen 2021 KWSP dibayar kepada pencarum tidak lama lagi dan sebelum Hari Raya,” katanya di Facebook.

Najib mengulas sokongan Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) Ahmad Fadhli Shaari terhadap pengeluaran i-Citra RM10,000 bagi pencarum yang terjejas.

Najib Razak.

Fadhli dalam kenyataan semalam mendedahkan bahawa Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob mahu melaksanakan pengeluaran berkenaan, namun Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz enggan merealisasikannya.

Mengulas lanjut, Najib berkata, sokongan yang dinyatakan secara terbuka oleh Ketua Pemuda PAS itu dijangka mendapat sokongan menteri PN dan menjadikan permintaan rakyat itu suatu realiti.

“Dengan sokongan yang diumum Ketua Pemuda PN/PAS semalam, saya lebih optimis bahawa menteri-menteri PN akan akhirnya tidak lagi membantah tetapi akan menyokong permintaan pengeluaran khas ini dan ia akan menjadi realiti.

“Harap Ketua Pemuda PN/PAS seorang ini akan berusaha untuk memujuk Presiden Bersatu dan PAS serta menteri-menteri PN untuk memberi sokongan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.